GUA MUSANG - Tiga penumpang cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam cerun di Kilometer 24 Jalan Gua Musang - Kuala Krai di sini, pada Selasa.
Semasa kejadian jam 12.15 tengah malam itu, bas tersebut dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan melalui laluan tersebut selepas jalan ke Kuala Terengganu ditutup akibat banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 pagi mengenai kejadian tersebut.
"Seramai 11 anggota digegaskan ke lokasi dan mendapati seramai 13 mangsa berada di dalam bas berkenaan termasuk pemandu.
"Tiga daripada mereka iaitu seorang lelaki dan dua perempuan mengalami kecederaan ringan. Mereka telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuantan melalui jalan Gua Musang kemudian ke Lebuhraya Karak menuju ke Kuantan.
Menurut beliau, laluan bas terpaksa ditukar daripada menggunakan jalan biasa iaitu Kuala Terengganu disebabkan banjir.
"Apabila sampai di tempat kejadian, bas ekspres tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang kemudiannya terbalik ke dalam cerun.
"Akibatnya, bas mengalami kerosakan teruk pada bahagian sebelah kiri," katanya.
Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat dan bertimbang rasa.