Ancelotti tolak latih Brazil, mahu kekal di Sepanyol

Iklan
Ancelotti gembira di Madrid dan mahu kekal di Sepanyol sehingga Jun 2024. - Foto Agensi.

JURULATIH berpengalaman, Carlo Ancelotti menolak desas-desus akan melatih pasukan Brazil yang tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar 2022.

Sebaliknya pengendali berusia 63 tahun itu mahu terus melatih Real Madrid dan kekal bersama di kelab Sepanyol itu sehingga kontraknya tamat pada Jun 2024.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu apa yang dijanjikan pada masa depan. Saya hidup hari demi hari," ujar Ancelotti.

Media sebelum ini melaporkan Ancelotti antara calon yang disebut-sebut mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tite selepas meletakkan jawatan ekoran kegagalan Brazil di Qatar.

Iklan

Skuad Selecao tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Croatia pada aksi suku akhir setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat masa tambahan.

Ancelotti mahu kekal fokus dengan tugasnya di Madrid ketika pasukan itu mahu mempertahankan kejuaraan La Liga, Piala Super Sepanyol dan bersedia untuk Piala Kelab Dunia Februari depan.

Iklan

"Saya gembira di Madrid, kami ada banyak objektif musim ini. Saya ada kontrak hingga 30 Jun 2024.

"Jika Real Madrid tidak memecat saya sebelum itu, saya tidak akan ke mana-mana," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih dari Itali berkenaan memuji jurulatih Argentina, Lionel Scaloni apabila pasukan tersebut dimahkotakan selaku juara Piala Dunia selepas mengatasi Perancis di final.

"(Scaloni) melakukan tugas yang luar biasa dan tidak mencipta sesuatu yang baharu.

"Dia meletakkan pemain di tempat yang betul dan memberikan mereka corak bertahan yang bagus," kata Ancelotti.

Ancelotti akan meneruskan tugasnya di Real Madrid pada 30 Disember dalam misi mengekalkan kedudukan teratas La Liga dengan Barcelona dua mata di depan.