MAINS agih RM148.4 juta dana zakat

Iklan
Penyerahan replika cek bayaran zakat perniagaan oleh syarikat-syarikat korporat.

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM148.4 juta kepada asnaf bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi MAINS, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata, ia melibatkan asnaf yang terdiri daripada fakir, misikin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin.

Iklan
Iklan

"Agihan lain meliputi bantuan hemodialisis kepada asnaf dan orang ramai, bantuan pendidikan kepada yang memerlukan, bantuan kewangan serta bantuan perubatan.

"MAINS turut membudayakan amalan berwakaf bagi meningkatkan pegangan aset dan hartanah untuk kepentingan agama dan pembangunan masyarakat Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bayaran Zakat Perniagaan Syarikat-Syarikat Korporat 2022 di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam majlis itu, MAINS menerima serahan zakat daripada syarikat-syarikat korporat berjumlah RM2,474,035.62.

Ujarnya, dalam mendepani ketidakstabilan ekonomi global, tidak seharusnya melupakan peranan penting zakat bagi merancakkan kembali ekonomi umat Islam.

Iklan

"Permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dapat ditingkatkan dengan mewujudkan kuasa membeli kepada golongan asnaf melalui agihan zakat yang dilaksanakan.

"Justeru, MAINS sentiasa proaktif dalam memperkasakan pelbagai inisiatif berkaitan urusan kutipan dan agihan zakat melalui dasar komprehensif yang diperhalusi dengan teliti di setiap peringkat oleh ahli MAINS dan diterjemahkan pelaksanaannya," katanya.

Jelasnya, ibadah zakat seperti zakat firah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin.

"Bagi memudahkan umat Islam berzakat di Negeri Sembilan, MAINS juga menyediakan 12 kaunter kutipan zakat MAINS yang beroperasi tujuh hari sepanjang bulan Disember ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MAINS positif untuk mencapai sasaran RM160 juta zakat perniagaan sehingga akhir tahun ini.

"Bermula Januari hingga November tahun ini, MAINS berjaya membuat kutipan zakat perniagaan sebanyak RM 112 juta berbanding RM106.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Berlaku peningkatan sebanyak RM6.5 juta dan kita positif sasaran RM160 juta zakat perniagaan pada tahun ini dapat dicapai memandangkan kebiasaanya pada bulan Disember ramai yang akan membayar zakat di saat akhir," katanya.