SHAH ALAM - Laporan yang mengaitkan pekerja warga Indonesia mati lemas dalam saluran pembetungan bawah tanah di Taman Sains 2, Cyberjaya pada Isnin adalah tidak benar.
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sebaliknya memaklumkan, kemalangan maut itu berlaku ketika kontraktor menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi sistem perpaipan telekomunikasi bawah tanah di lokasi tersebut.
"IWK ingin membetulkan fakta laporan media semalam yang mengaitkan pekerja mati lemas dalam saluran pembetungan adalah tidak benar kerana kejadian malang berkenaan bukan berlaku di lurang pembetungan.
"Kami menegaskan bahawa keselamatan pekerja dan kontraktor IWK sentiasa diberi perhatian utama kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan persekitaran bahaya, kotor dan sukar memerlukan kemahiran khusus.
"Sehubungan itu, setiap kakitangan operasi dan pihak kontraktor lantikan IWK perlu menjalani latihan terperinci membabitkan persekitaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan tiga pekerja pemasangan kabel warga Indonesia maut dipercayai lemas dalam saluran pembetungan bawah tanah di Taman Sains 2, Cyberjaya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 3.17 petang.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 3.24 petang.
Kenyataan sama turut memaklumkan, IWK mempunyai Pusat Latihan, Penyelidikan dan Inovasi Asia (ASTRICE) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bertujuan melatih kakitangan operasi sebelum mendapat pengesahan sijil kecekapan untuk bekerja di ruang terkurung seperti lurang pembetungan.