Pengasas SADA, Azmi Din meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Azmi

ALOR SETAR - Pengasas Syarikat Air Darul Aman (SADA), Datuk Azmi Din meninggal dunia di kediamannya di Sungai Petani pada 10 malam Isnin.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Iklan
Iklan

Menerusi catatan tersebut, Muhammad Sanusi menggambarkan keakraban mereka umpama adik dengan abang memandangkan sudah lama saling mengenali.

Menurutnya, Azmi adalah pengasas SADA yang mengambil alih dan menukar rejim Jabatan Bekalan Air (JBA) sebelum dibentuk sebagai sebuah syarikat utiliti milik kerajaan negeri dengan segala kepayahan bermula 2010.

Iklan

"Azmi adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama SADA. Beliau kemudiannya bersara kali pertama pada 2016. Jawatan terakhir beliau sebelum ke SADA adalah Pegawai Daerah Sik.

"Pada Mei 2020 ketika saya ambil alih pemerintahan negeri, SADA sedang tenat sejak beberapa tahun di bawah pentadbiran sebelumnya. SADA kerugian RM36 juta dalam operasinya (2019) dan saya memujuk Azmi yang sudah berkerusi roda untuk kembali semula ke SADA sebagai Pengarah Urusan bagi memulihkan syarikat tersebut,” katanya.

Muhammad Sanusi

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, akhirnya Azmi bersetuju dan bertegas tidak akan menerima gaji selagi SADA tidak berjaya dipulihkan.

"Selama dua tahun (2018-2019), kerja-kerja penyelenggaraan infra tidak dibuat akibat perbelanjaan operasi terlalu tinggi, kutipan hasil pula merosot. Akibatnya perkhidmatan bekalan air seluruh negeri terjejas teruk,” katanya lagi.

Menurutnya, SADA beroperasi dalam kerugian, malah simpanan tetap SADA hampir RM100 juta turut dicairkan sebanyak RM35 juta untuk menampung pembayaran gaji kakitangan sehingga menyebabkan Azmi begitu marah dengan apa yang berlaku.

"Hutang kepada konsesi, pembekal bahan kimia, elektrik dan Lembaga Sumber Air cecah RM148 juta. Tugasan berat menanti beliau ketika itu, bermula Jun 2020 hingga Disember 2020, sebahagian hutang (RM79 juta) dilunaskan melalui penjimatan operasi,” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, proses migrasi yang tertangguh sejak beberapa tahun akhirnya dapat diselesaikan, membawa kepada pelupusan pinjaman kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM691 juta.

"Dalam tahun pertama, Azmi membawa kebangkitan besar dalam SADA. Penamatan syarikat konsesi swasta di Langkawi dan operasi beberapa loji rawatan air menjimatkan berjuta-juta kos, malah mula catat keuntungan.

"Tahun 2020 beliau gagaskan slogan ‘SADA Bangkit’, manakala 2021 dengan semangat ‘SADA Merdeka’. Konsesi swasta yang menghisap darah SADA selama 25 dan 30 tahun akhirnya berjaya ditamatkan,” katanya.

Menurutnya lagi, hanya ketika SADA mula mencatat untung, barulah Azmi mahu menerima gaji sebagai Pengarah Urusan syarikat itu bermula tahun lalu.

"Beliau fokus pula untuk atasi masalah air tidak terhasil (NRW )secara holistik dengan terokai pelaburan swasta dalam infra air. Bayaran kepada pelaburan (RM930 juta) syarikat swasta selama 15 tahun adalah hasil penjimatan bila kadar NRW berjaya dikurangkan.

"Jika tiada pengurangan, tiadalah bayaran. Ia program pertama seumpamanya dalam negara selepas rundingan dilaksanakan dengan teliti. Pada 19 Disember (semalam), perjanjian pelaksanaan program menangani NRW secara holistik diterokai Azmi ditandatangani antara SADA dengan firma Rai Utility Sdn Bhd,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, setelah selesai langkah terakhir bagi memulihkan bekalan air di Kedah, Azmi pun kembali ke alam abadi pada malam hari yang sama.

"Beliau menamatkan khidmat di SADA pada 31 Ogos 2022, selepas kembali memulihkan SADA selama dua tahun. Beliau sentiasa ada penyelesaian ketika khidmatnya diperlukan.

"Semoga kerja keras beliau selama lapan tahun di SADA dan 34 tahun sebagai pegawai tadbir negeri Kedah (KCS) menjadi amal soleh serta bekalan ke syurga,” ujarnya lagi.