Sultan Selangor zahir penghargaan kepada pasukan penyelamat

Iklan
Foto yang dikongsikan Sultan Selangor di FB Selangor Royal Office pada Selasa.

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada Selasa menzahirkan penghargaan kepada anggota pasukan penyelamat yang masih bertungkus lumus dalam operasi mencari serta menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

Menerusi catatan di Facebook Selangor Royal Office, baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa bangga tersebut dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan dan sinergi pelaksanaan terbaik oleh setiap agensi yang terlibat sejak hari pertama bencana itu berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali dekat sini.

Iklan
Iklan

"Jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi di semua peringkat yang terlibat dalam SAR akan terus bersemangat dan bersatu hati serta diberikan segala kemudahan fizikal dan mental untuk menyelesaikan operasi dengan sempurna.

Lima agensi penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR berkenaan adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

Iklan

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut menzahirkan rasa bimbang tentang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang akan menyukarkan lagi usaha-usaha SAR yang sedang giat dilaksanakan sejak 16 Disember lepas.

"Beta mendoakan agar pengorbanan mulia anggota-anggota penyelamat ini dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh akan dikurniakan ganjaran setimpal oleh ALLAH SWT," titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin turut menghargai usaha dan kesungguhan semua pihak dan turut khuatir apabila diberitahu bahawa ada anggota yang cedera, sakit dan berdepan cabaran getir sepanjang operasi ini berjalan.

Iklan

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan bahawa tiga pegawai dan anggota penyelamat terlibat dalam SAR berkenaan semalam kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan, namun semuanya dalam keadaan stabil.

Beliau dalam sidang media pagi tadi berkata, pegawai dan anggota tersebut ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis, seorang anggota bomba memang ada komplikasi kesihatan dan seorang anggota APM yang kakinya terkehel namun telah didiscaj pagi ini. - Bernama