Tiga beradik maut: Keluarga dibantu secara psikologi

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
TUMPAT - Polis Kelantan menghantar empat anggota daripada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) kepada keluarga yang kehilangan tiga anak perempuan akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini semalam. Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, langkah itu adalah usaha pihaknya bagi membantu keluarga tersebut dari segi psikologi dan meredakan kesedihan mereka susulan tragedi berkenaan."Kita juga akan (cuba) memulihkan mereka dari segi mental kerana tidak mahu keluarga tersebut berterusan memikirkan kejadian itu sehingga menjejaskan emosi," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan sumbangan kepada keluarga terbabit di rumah mereka, di sini pada Selasa. Muhamad Zaki berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan dengan memantau dan melihat pelbagai sudut sekiranya terdapat kecuaian."Kita bukannya mahu mencari kesalahan tetapi mahu mengatasinya agar perkara sebegini tidak lagi berulang," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Isnin itu, tidak beradik perempuan iaitu Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, sedang berjalan kaki mengharungi banjir di hadapan sebuah rumah, sebelum terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang menjalankan siasatan berhubung insiden itu dengan bantuan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Tenaga. TNB dalam kenyataan turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus. Banjir yang melanda beberapa negeri semalam merekodkan empat kematian di negeri ini yang melibatkan tiga beradik tersebut dan seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan yang ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang. Sementara itu, seramai 66,718 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri, dengan Terengganu dan Kelantan terus merekodkan peningkatan mangsa setakat jam 4 petang tadi. - Bernama