SHAH ALAM - Gelaran ‘Harimau Asia’ yang pernah disandang Malaysia pada suatu ketika dijangka mampu dibawa kembali di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Saadiah Mohamad, ia kerana kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu mendapat reaksi positif dari seluruh masyarakat sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.
Ujar beliau, perkara tersebut sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada pelabur luar dalam merancakkan sektor ekonomi negara.
"Saya rasa Anwar ada cerita yang sangat menarik, kita lihat apabila dia dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mendapat ucapan tahniah yang mencurah-curah, ia sedikit sebanyak dapat menarik perhatian dunia dan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat dunia dan pelabur terhadap negara.
"Kita pula ada Perdana Menteri seperti Anwar, jadi saya kira negara kita akan berada dalam satu rantau negara Asia yang mempunyai ekonomi rancak, kita boleh jadi ‘Harimau Asia’ kembali seperti zaman kebangkitan Asia dahulu,” katanya dalam Program Wacana Sinar Edisi 374 bertajuk 'Ekonomi Malaysia di tangan Anwar' yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan.
Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri dan Presiden Youth Front Party, Datuk Razalif Mohamad Zain.
Pada masa yang sama, Saadiah menambah, kerajaan disaran untuk mengkaji Bajet 2023 sebelum dibentangkan pada Februari tahun depan.
Jelas beliau, ia sebagai usaha bagi memastikan agenda reformasi dalam ekonomi negara terlaksana.
"Antara yang boleh diberi perhatian adalah seperti daripada segi subsidi bersasar dan percukaian.
"Perkara ini penting, kerana kalau dilihat dalam negara ini, kita ada sebilangan golongan yang cukup kaya, jadi dengan usaha mereformasikan sistem percukaian ini, kekayaan mereka itu dapat disumbangkan kepada mereka yang di bawah terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya
Kerajaan perlu perkukuh ekonomi domestik - Yahya
Ekonomi di peringkat domestik perlu diperkukuhkan bagi mengimbangi kemelesetan yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri berkata, generasi muda menjadi antara watak penting memainkan peranan untuk mengembangkan setiap pasaran dalam negara.
"Jadi anak muda kena ramai yang berniaga untuk bantu ekonomi negara ini, sebab kalau negara kita alami kemelesetan, pelabur-pelabur luar boleh lari. Jadi pemain industri tempatan ini masih boleh menyumbangkan hasil.
"Ini merupakan mesej penting buat kerajaan, kena pastikan generasi muda ini diberi peluang dalam berniaga, berikan kemudahan kepada mereka daripada segi latihan kemahiran, pendaftaran perniagaan dan juga daripada segi peluang untuk mereka wujudkan pasaran.
"Kerajaan juga perlu beri tumpuan terhadap pendigitalan dalam industri memandangkan ramai generasi muda mempunyai akses kepadanya dan dengan pendigitalan ini, peluang pekerjaan sebenarnya menjadi lebih banyak,” kata beliau.