KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari kelima hari ini, menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam.
Penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 mangsa.
Operasi hari ini dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.
Cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR yang bermula kira-kira 8 pagi tadi, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.
Terdahulu, anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan ketika pencarian di sektor C (Riverside).
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.
Anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.
Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.
Komitmen yang ditunjukkan anggota SAR turut mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini menzahirkan penghargaan kepada mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis sudah merakam keterangan 53 individu, bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan termasuk pengusaha, dua pekerja tapak perkhemahan selain mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.
Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.
Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak. - Bernama