Bajet Mini 2023 yang diluluskan Sidang Dewan Rakyat pada Selasa sedikit sebanyak dilihat dapat memberi sedikit kelegaan buat seluruh rakyat Malaysia.
Sebanyak RM107 bilion yang dibelanjakan dalam bajet tersebut bukan sahaja melibatkan pembayaran gaji penjawat awam, utiliti dan biasiswa tetapi turut merangkumi beberapa inisiatif lain kerajaan untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat.
Antaranya seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 dan bantuan khas kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang itu menyatakan, kerajaan akan meneruskan bantuan tunai rakyat seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini dengan mengawalkan pembayaran fasa satunya dari Mac ke Januari 2023.
Bayaran tersebut bakal memanfaatkan hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.
Beliau juga turut mengumumkan KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56.
Pada masa yang sama, seramai 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM700 manakala RM350 kepada pesara kerajaan.
Sementara itu, bagi pelajar sekolah pula, bantuan awal persekolahan dengan bayaran berjumlah RM150 akan diagihkan bermula Januari depan.
Pemberian tersebut diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira kelas pendapatan keluarga mereka.
Daripada segala inisiatif yang dijalankan ini, ia dapat memberikan sedikit sokongan kewangan buat seluruh rakyat Malaysia untuk sementara waktu kerana rata-ratanya kini berhadapan dengan isu kos sara hidup yang tinggi.
Negara juga dijangka berdepan dengan kemelesetan ekonomi pada tahun depan sekali gus menuntut rakyat bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi cabaran tersebut.
Ia juga bermakna perjalanan kerajaan dalam merangka dasar-dasar yang efisien bagi menghadapi kemelut tersebut masih panjang serta memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pihak kerajaan, pembangkang dan ahli akademik.
Cabaran untuk membawa kestabilan ekonomi demi mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat itu akan terus menguji kepimpinan Anwar dari masa ke masa.