LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan pada petang Isnin.
Jurucakap Maritim Malaysia Kedah dan Perlis berkata, operasi Carilamat tekong bot nelayan yang dikenali sebagai Zaizali Harun, 61, disambung pada hari ketiga mulai jam 7.30 pagi.
"Aset terlibat ialah Bot Penyelamat 5 dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Bot FCB 1326 dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot PSC 23 dari Pasukan Polis Marin (PPM) yang melibatkan keanggotaan seramai 25 orang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, operasi terbabit turut menerima bantuan dari beberapa bot nelayan tempatan.
Pada Selasa, operasi hari kedua di Selat Bagan Nyior ditangguhkan pada jam 7 malam dan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan pada petang Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan berkenaan kehilangan tekong bot nelayan itu yang dikenali Zaizali Harun, 61.
Menurutnya, operasi diaktifkan dengan menggerakkan bot Perkasa 1228 dan bot Perkasa 1224 sejurus menerima maklumat daripada anak mangsa, Rokie Zaizali.