Sekurang-kurangnya 2 maut gempa bumi kuat di California

Iklan
Pemilik rumah Darren Gallagher melihat rumahnya yang runtuh selepas gempa bumi kuat 6.4 magnitud melanda di pantai utara California di Rio Dell, California - Foto REUTERS/Fred Greaves
HOUSTON (Amerika Syarikat) - Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan hampir sedozen lagi cedera di California, Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu.

Gempa bumi itu berlaku berhampiran Ferndale, kira-kira 338 kilometer (km) barat laut San Francisco pada Selasa merosakkan bangunan dan jalan serta menyebabkan bekalan elektrik lebih 70,000 rumah terjejas.

Dalam satu hantaran di Twitter, pejabat daerah itu memaklumkan banyak jalan raya dan rumah di seluruh Humboldt Kaunti mengalami kerosakan dan penduduk diminta siap siaga kemungkinan gempa susulan.

Sekurang-kurangnya 80 gegaran susulan dilaporkan berlaku dengan satu gempa bermagnitud 4.6, menurut Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California (Cal OES).

Pegawai negeri menggesa penduduk bersiap sedia berikutan satu lagi gempa bumi diramal berlaku dalam masa terdekat. -Bernama