Dewan Negara rakam ucapan tahniah kepada PM

Iklan
Rais
KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Rabu merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menerajui Kerajaan Perpaduan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, beliau berharap Ahli Parlimen Tambun itu akan berjaya memacu perpaduan, ekonomi negara dan memperjuangkan rakyat ke arah kesejahteraan yang lebih baik.

Dalam ucapan itu, Rais turut mengingatkan empat orang Ahli Dewan Negara yang dilantik sebagai Menteri dan dua sebagai Timbalan Menteri agar tidak melupakan dewan tertinggi itu tatkala menggalas tanggungjawab jawatan-jawatan tersebut.

"Moga sebagai Ahli Dewan ini, rakan-rakan Menteri dan Timbalan Menteri tidak melupai dewan yang mulia ini yang memberi budi, asas dan telapak kepada kita,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri dalam mesyuarat sepanjang sidang Dewan Negara akan dicatat oleh Setiausaha Dewan Negara selaras dengan Artikel 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, langkah tersebut diambil bagi memberi gambaran bahawa Kabinet adalah bertanggungjawab kepada Parlimen.

"Hal ini belum pernah disebut lagi tetapi penting bagi dewan tertinggi ini mencatatkannya sebagai satu tanggungjawab,” katanya.

Pada 3 Disember, empat individu yang dicalonkan sebagai menteri pada ketika itu telah dilantik sebagai Senator.

Mereka adalah Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Hal Ehwal Agama) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy pula dilantik sebagai Senator pada 10 Disember.

Dalam pada itu, Rais berkata, Dewan Negara berduka dan mengucapkan takziah kepada mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lepas serta menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di seluruh segara.

Rais menasihati kesemua ahli Parlimen untuk memberi khidmat dan bantuan sekadar mampu kepada rakyat di kawasan masing-masing bagi meringankan beban mereka.

"Kita berharap juga negara akan setiasa dilindungi daripada perkara-perkara yang tidak diingini," ujarnya. - Bernama