Peru isytihar duta Mexico sebagai 'persona non grata'

Iklan
Duta Mexico, Pablo Monroy Conesa kini dianggap 'persona non grata' dan diberikan tempoh 72 jam untuk meninggalkan Peru.
BANDARAYA MEXICO - Kerajaan Peru mengumumkan pada Selasa bahawa duta Mexico, Pablo Monroy Conesa kini dianggap 'persona non grata' dan diberikan tempoh 72 jam untuk meninggalkan negara itu.

Menteri Luar, Ana Cecilia Gervasi berkata, ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara baru-baru ini didapati berpunca daripada campur tangan kerajaan Mexico.

Pengusiran itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard mengumumkan bahawa keluarga bekas Presiden Peru, Pedro Castillo kini berada di kedutaan Mexico di Lima dan telah diberikan suaka politik.

Menurut Ebrard, kerajaan Mexico sedang berunding dengan rakan sejawatannya dari Peru mengenai perjalanan yang selamat untuk keluarga Castillo ke Mexico jika ada permintaan dibuat oleh mereka.

Sejak penyingkiran Castillo pada 7 Disember lalu, kerajaan Mexico telah menawarkan perlindungan kepada presiden yang digulingkan itu.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador mengkritik tindakan Kongres Peru yang memecat Castillo selain menyifatkan ia tidak demokratik dan satu plot yang dirancang golongan elit Peru.

Lopez Obrador juga enggan mengiktiraf Dina Boluarte sebagai presiden Peru yang sah dan bagi Mexico Castillo"masih presiden."

Komen dan sokongan presiden Mexico itu terhadap Castillo menyebabkan ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak. - Bernama