RANTAU PANJANG - Mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong di sini terpaksa menggunakan air banjir untuk minum, masak dan membancuh susu anak-anak kecil.
Walaupun jijik pada awalnya tetapi akibat terdesak memaksa mereka berbuat demikian demi kelangsungan hidup apabila kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibina sendiri di kawasan kebun kelapa sawit ditenggelami banjir sedalam 2 meter.
Wakil mangsa banjir, Che Haron Zakaria, 57, berkata, mereka terputus bekalan air bersih sejak Ahad lalu dan sepanjang empat hari tersebut hanya air banjir yang menjadi sumber utama mereka di sini.
"Tapi apakan daya hanya ini pilihan yang ada dan sehingga sekarang kami masih menunggu bantuan bekalan air bersih daripada sesiapa sahaja yang sudi meredah banjir datang ke sini," katanya ketika dihubungi.
Menurut Che Haron, pada awalnya PPS yang dibina sendiri itu didiami lebih 200 penghuni tetapi pada Selasa ramai yang memilih untuk berpindah ke sebuah gudang apabila air banjir mulai menghampiri kawasan tersebut.
Ujarnya, ada sebahagian lagi yang berpindah ke sebuah rumah penduduk yang terletak di kawasan tinggi.
Che Haron memberitahu, dia dan 69 lagi mangsa banjir memilih untuk kekal di sini apabila melihat keadaan air semakin surut sejak petang Selasa.
"Disebabkan itu kami sekarang berdepan dengan masalah air bersih, manakala bekalan makanan masih mencukupi untuk beberapa hari lagi.
"Kami cuba untuk keluar mendapatkan bantuan tetapi sukar kerana faktor air dalam dan deras," katanya.