SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa beliau telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tuntutan saman tersebut adalah berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa Anwar menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan kes berkenaan mengikut lunas undang-undang.
"Oleh kerana Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan rasmi di Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, Anwar mengemukakan saman terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Kenyataan fitnah itu didakwa Perdana Menteri, telah dibuat oleh Muhyiddin dalam satu ucapan ketika ceramah 'Grand Finale PN Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim pada 5 Disember lalu bagi menyokong calon PN, Datuk Azman Nasruddin.
Pada 8 Disember lalu iaitu sehari selepas menghantar notis tuntutan melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners, Anwar berkata, Muhyiddin menyebabkan penyataan fitnah itu diterbitkan semula di akaun Facebooknya di bawah nama 'Muhyiddin Yassin' yang mendapat tontonan melebihi 42,000, 506 komen, melebihi 2,800 reaksi dan 48 perkongsian.
Anwar menuntut daripada Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pampasan dan ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.