Tanah runtuh: Mayat ke-26 tiba di Hospital Sungai Buloh

Iklan
Kenderaan polis membawa mayat mangsa ke-26 tragedi tanah runtuh Batang Kali tiba di Hospital Sungai Buloh pada jam 12.48 tengah hari tadi.
SUNGAI BULOH - Mayat ke-26 mangsa tragedi tanah runtuh di Family's Organic Farm, Batang Kali tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada Rabu.

Mangsa dibawa menaiki kenderaan polis tiba jam 12.48 tengah hari untuk proses bedah siasat.

Tiga individu termasuk dua warga asing dipercayai waris mangsa tiba di hospital berkenaan sekitar jam 12.35 tengah hari.

Laporan awal diterima memaklumkan, mayat tersebut merupakan lelaki dewasa yang ditemukan kira-kira jam 11.16 pagi di lokasi tanah runtuh.

Penemuan terbaharu pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu menjadikan baki mangsa yang masih hilang adalah tujuh orang.

Pada Selasa sekitar jam 11.20 malam, mayat mangsa ke-25 iaitu seorang kanak-kanak perempuan ditemukan pada kedalaman 17 meter.

Seorang lelaki dipercayai waris kepada kanak-kanak perempuan berkenaan berada di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh sekitar jam 11 pagi, Rabu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 94 mangsa terlibat tragedi tanah runtuh membabitkan 61 mangsa dilaporkan terselamat, 26 meninggal dunia dan tujuh dilaporkan hilang.

Operasi SAR hari keenam dimulakan jam 8 pagi membabitkan lebih 100 anggota daripada lima agensi terlibat.

Sebanyak 11 jengkaut selain anjing pengesan (K9) dan Ground Penetrating Radar (GPR) digunakan bagi mencari mangsa yang masih hilang.