Bapa tanam anak tepi jalan didakwa membunuh

Iklan
Mohd Yasin (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu bagi menghadapi pertuduhan membunuh anak perempuan.
KUALA LUMPUR - Seorang bapa yang disyaki mendera anak perempuannya sehingga maut sebelum menanam mayat mangsa di tepi jalan di Jalan Bellamy, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Yasin Halik, 40, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia berikutan kes bunuh diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nurul Ainatira, 9, di sebuah rumah di Jalan Pudu di sini pada jam 9 malam, 9 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa atas dua lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini iaitu menyimbah air panas pada teman wanitanya yang juga ibu kepada Nurul Ainatira, Suma, 41, dan anak bongsu mereka berusia enam tahun di lokasi sama pada 1 dan 8 Disember lalu.

Bagi pertuduhan mencederakan Suma, dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyimbah air panas menggelegak dari cerek ke atas anak perempuannya, ia dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 penjara atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia yang mengaku salah atas dua tuduhan tersebut dihukum penjara empat bulan kerana mencederakan Suma, namun keputusan bagi kes mencederakan anak bongsunya akan diketahui 9 Januari tahun depan.

Pada 13 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan tindakan kejam seorang lelaki mendera dan menanam mayat anak perempuannya berusia sembilan tahun di sebuah kawasan riadah di sini terbongkar selepas ibu kepada kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis.