Tanah runtuh: Alat GPR diguna bantu kesan jasad manusia

Iklan
Alat pengesan GPR digunakan untuk mengesan jasad manusia di kawasan tanah runtuh di Batang Kali pada Rabu. - Foto Bernama

BATANG KALI - Empat alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) (radar menembusi tanah) yang kali pertama digunakan untuk mengesan jasad manusia dalam kes tanah runtuh di Malaysia, dibawa ke lokasi tragedi di sini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keenam pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan, berdasarkan input daripada Geoventure Solution Sdn Bhd dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), ketepatan GPR dipengaruhi permukaan tidak rata dan tidak stabil serta tanah lembap.

Iklan
Iklan

Menurut Nadma, keadaan itu boleh menyebabkan cerapan data alat canggih itu kurang tepat.

"Bagi mendapatkan hasil yang optimum pula, julat frekuensi yang boleh digunakan oleh alat GPR adalah dari 100 MHz hingga 1,000 MHz, namun untuk kes tanah runtuh di Father’s Organic Farm itu, frekuensi yang digunakan adalah 500MHz yang boleh menembusi sehingga lima meter ke bawah tanah,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Empat alat tersebut diperoleh satu daripada JUPEM, dua daripada Geoventure Solution dan satu daripada Agensi Nuklear Malaysia.

Menurut Nadma, GPR berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.

Iklan

"Berdasarkan corak gelombang tersebut, hipotesis berkaitan anomali dan perbezaan sifat magnetik dapat dibuat iaitu dalam konteks sekarang, hipotesis yang dibuat adalah badan atau mayat manusia,” menurutnya.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu sehingga kini menyaksikan 61 mangsa selamat, 26 terkorban dan tujuh masih hilang.- Bernama