Banjir: Terpaksa huni PPS selepas keluar wad

Iklan
Yah menemani anak lelakinya, Abdul Rani sepanjang berada di PPS SK Cherating selepas rumahnya di Kampung Permatang Bata di sini dilanda banjir.

KUANTAN - Seorang lelaki yang terlantar akibat kemalangan sembilan tahun lalu terpaksa berehat di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di sini selepas selesai menerima rawatan di Hospital Kemaman akibat sesak nafas, dua hari lalu.

Abdul Rani Yusuf, 55, yang sudah hampir seminggu berada di hospital tidak dapat dibawa pulang kerana rumahnya di Kampung Pengkalan Bata, Cherating dinaiki air.

Iklan
Iklan

Ibunya, Yah Ismail, 77, berkata, selepas keluar wad, anaknya terus dibawa ke pusat pemindahan tersebut.

Warga emas itu berkata, sepanjang berada di situ sejak dua hari lalu, dialah yang menjaga anak ketiganya itu selain dibantu anak-anak dan ahli keluarga yang tinggal berdekatan.

Iklan

"Dia perlu penjagaan sepenuhnya kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri, adik-beradiknya yang lain atau anak saudara akan datang bantu.

"Allhamdulillah saya masih sihat walaupun ada penyakit kencing manis dan darah tinggi jadi dapatlah saya jaga dia di sini," katanya yang tinggal berdua bersama anaknya itu sebelum berpindah ke situ.

Iklan

Yah berkata, anak lelakinya itu terbabit kemalangan sembilan tahun lalu selepas motosikal diboncengnya dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

"Akibat kemalangan itu, dia (Abdul Rani) koma selama tiga bulan.

"Ekoran kecederaan saraf dialami, kehidupannya berubah dan terlantar sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di PPS SK Cherating di sini pada Rabu.

Menurut Yah, walaupun berada di pusat pemindahan, dia dan anaknya berada dalam keadaan baik.

"Kalau boleh memang hendak segera pulang tapi rumah belum sempat dibersihkan lagi, saya tunggu dan lihat dahululah.

"Kalau dibenarkan pulang, baru kami pulang," katanya.

Yah berkata, dia berpindah ke pusat pemindahan itu untuk kali kedua selepas kali pertama pada 2013.

"Kali ini banjir agak teruk apabila air di dalam rumah naik hampir paras lutut.

"Bimbang air makin tinggi, anak-anak bawa saya berpindah ke sini," katanya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!