Dari kuaters terbiar, kini berteduh di ladang kelapa sawit

Iklan
Pondok kayu beratap dan dinding kanvas menjadi tempat berteduh tujuh beranak itu.

SERENDAH - Dia tidak kenal siapa ibu bapa kandungnya, malah sejak lahir dia dibuang ke dalam tong sampah di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Begitulah nasib yang dialami mualaf, Mohammad Ashraf Gopi Abdullah, 42, yang sehingga kini melalui perjalanan hidup dengan pelbagai ujian.

Iklan
Iklan

Kini dia dan isteri, Rosnah Pinning, 33, serta lima anak terpaksa membina sebuah pondok untuk berteduh di ladang kelapa sawit dekat Air terjun Serendah.

Mohammad Ashraf berkata, dia yang berketurunan india dibesarkan di rumah perlindungan kanak-kanak sehingga berusia 18 tahun pernah bekerja sebagai klendan lori.

Iklan

Menurutnya, ketika berusia 28 tahun, dia berkahwin dengan gadis pilihan dari Kampung Orang Asli Serendah dengan menetap di sebuah pondok yang dibina di kawasan tempat kerja dekat Pekan Serendah.

"Anak sulung, Nadia dilahirkan di pondok berkenaan yang disambut ibu mertua pada waktu malam sebelum dirujuk ke hospital keesokan harinya.

Iklan

"Masa itu saya tak tahu macam mana nak buat surat beranak dan selepas dua bulan, baharu saya ke pejabat pendaftaran tapi banyak borang kena isi tapi saya tak reti.

"Nadia sekarang sudah berusia 13 tahun dan tiada surat beranak selain tidak pernah bersekolah," katanya.

Mohammad Ashraf berkata, anak kedua, Ahmad Zakuan, 12, mempunyai surat beranak dan bersekolah serta akan memasuki sebuah sekolah berasrama di Shah Alam tahun depan atas usaha seorang hamba ALLAH

Menurutnya, pada 2010, dia dan isteri memeluk Islam namun terpaksa berhenti kerja selepas mengalami kecederaan jatuh tangga di tempat kerja.

"Terjatuh semasa angkat simen ke tingkat tiga dan lutut tak lagi kuat untuk buat kerja berat.

"Tiada pilihan lain, saya cari besi buruk bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Saya kemudian ada menyewa rumah tapi sebab tak mampu bayar, saya terpaksa keluar dan 'menumpang' di sebuah kuaters terbiar,"katanya.

Mohammad Ashraf berkata, dia dikurniakan tiga lagi anak, Nurhayati, 10, dan Ahmad Shahir, 7, serta Ahmad Idham, 6.

Menurutnya, keluarga itu terpaksa mencari penempatan baharu selepas bangunan kuaters tersebut dirobohkan untuk pembangunan semula.

"Kami kembali ke kampung isteri dan buat pondok dalam ladang sawit di pintu masuk ke kawasan air terjun.

"Tauke (pengusaha) kawasan ini memberi saya kerja sebagai penjaga parkir yang difahamkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan gaji RM800 sebulan.

"Saya cari kayu dan buluh di hutan manakala tauke bagi kanvas untuk buat atap serta dinding... saya baharu tiga minggu tinggal di sini,"katanya.

Mohammad Ashraf berkata, hanya anak sulung tidak mempunyai surat beranak dan tercicir dari pendidikan manakala anak kedua dan ketiga bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah.

Menurutnya, anak keempat akan memasuki darjah satu dan bongsu ke tadika pada tahun depan.

"Sebab baru tiga minggu bekerja, jadi belum dapat gaji dan buat masa sekarang saya masih mencari besi buruk untuk tampung keluarga.

"Ketua kampung yang saya panggil Pak Din banyak membantu dan seorang anggota polis berpangkat sarjan, Pak Cik Mat yang sentiasa tolong.

"Motosikal buruk ini pun majikan lama bagi, tak ada roadtax (cukai jalan).. basikal pun orang bagi, dan lima hari lepas, Pak Cik Mat masukkan siaran televisyen berbayar,"katanya.

Mohammad Ashraf berkata, bekalan elektrik 'ditarik' dari pondok pengawal di pintu masuk air terjun manakala air sungai untuk kegunaan mandi dan membasuh pakaian serta pingan mangkuk.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 08068020562121 atas nama Rosnah.

Dapat perhatian Adun Batang Kali

Nasib dialami tujuh beranak itu mendapat perhatian Adun Batang Kali, Harumaini Omar yang berkunjung ke pondok berkenaan kelmarin bersama pegawai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Harumaini berkata, pihaknya berhasrat mencari sebuah rumah sewa yang bersesuaian untuk keluarga berkenaan.

Menurutnya, pada masa sama, usaha bagi membina sebuah rumah baru akan dilaksanakan melalui perbincangan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kita akan meneliti bantuan sewajarnya bagi meringankan beban keluarga terbabit demi masa depan dan keselesaan anak-anak agar tidak tercicir dari aspek pendidikan.

"Berkenaan salah seorang anak tiada surat beranak, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,"katanya.