BESUT – Banjir luar biasa yang melanda daerah Besut bermula Ahad menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang jualan susulan paras air yang tinggi dan arus deras.
Fatimah Mustafa, 43, yang menguruskan sebuah kedai percetakan di Jalan Tandak, di sini berkata, pelbagai barang dan peralatan di premis tersebut musnah ditenggelami air dengan kerugian dianggarkan RM650,000.
Menurutnya, antara yang rosak adalah 100 buah mesin fotostat, alat ganti mesin, 500 kotak kertas, komputer, barangan alat tulis dan pelbagai barangan lain.
Jelas Fatimah, banjir kali ini dianggap luar biasa kerana sejak beroperasi lima tahun lalu, kedai tersebut tidak pernah dinaiki air.
"Biasa air hanya sampai bawah saja tapi kali ini melimpah sampai ke dalam kedai dengan paras air di kawasan jalan mencapai 1.5 meter.
"Selain kedai, rumah saya terletak kira-kira tiga kilometer dari sini turut ditenggelami banjir, mujurlah sempat kemas barang-barang ke tempat tinggi. Ketika itu hanya fikirkan keselamatan diri dan keluarga tanpa hiraukan perkara lain.
"Saya terkejut bila tengok keadaan kedai selepas banjir surut. Kejadian ini tidak dijangka namun saya reda dan anggap sebagai ujian ALLAH SWT,” katanya.
Ketua juruteknik, Subki Mohamad, 55, berkata, pihaknya terpaksa menggunakan tenaga kerja yang ramai untuk mengeluarkan semua mesin fotostat terjejas banjir untuk dinilai sekiranya boleh dibaik pulih.
"Proses membersihkan kedai memakan masa lama kerana hampir semua barang rosak termasuk perabot. Berpuluh-puluh kotak alat ganti barang elektronik juga tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Berkongsi duka yang sama, pengusaha kedai barangan logam di Jalan Tandak, Mohd Norizzuan Mustafa, 36, berkata, lebih 6,000 beg simen, 200 kotak paku, 100 keping playwood pelbagai saiz, 70 pintu dan pelbagai barangan lain musnah dalam kejadian banjir besar ini.
Selain barang-barang katanya, enam biji lori dan tiga forklift turut ditenggelami banjir dengan kerugian dianggarkan hampir RM200,000.
"Sebelum banjir, saya sudah kemas barang-barang ke tempat selamat tapi apakan daya semuanya musnah kerana paras air begitu luar biasa hingga mencecah 2.5 meter. Arus deras turut menghanyutkan 20 biji tangki air dan 15 bingkai pintu.
"Sejak 12 tahun, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku, biasanya air satu meter saja, tak sampai masuk ke dalam kedai,” katanya yang reda dengan ujian tersebut walaupun menanggung kerugian besar.
Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad (Kohafas), Meriam Mohamad pula pasrah apabila kedai menjual barangan cenderahati, hamper dan barang alat tulis musnah dilanda banjir besar.
Selain kerosakan barangan seperti peti sejuk beku, tuala hadiah, sebuah mesin fotostat, pintu cermin premis terletak di Gong Nering iaitu antara lokasi banjir teruk turut pecah dibadai arus deras.
"Tempat ini tidak pernah dinaiki air, ini banjir paling buruk dan kami anggap ini sebagai ujian ALLAH SWT buat hambanya,” katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM60,000.