'Penat hadap banjir hampir saban tahun'

Iklan
Keadaan rumah Abdul Malik yang dinaiki air kira-kira satu meter ketika banjir melanda di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak di Kuala Nerus pada Isnin lalu.

KUALA NERUS - 'Hampir saban tahun saya berdepan bencana banjir di kawasan ini dan ada kalanya berasa sangat penat,' luah mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini.

Abdul Malik Muhamad, 46, berkata, bencana banjir kali ini berlaku secara mendadak menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan kerana air memasuki rumah dengan begitu cepat.

Iklan
Iklan

"Air naik mendadak jam 5.30 pagi Isnin lalu sehingga berada pada paras kira-kira satu meter. Banyak juga barang-barang yang tenggelam dan tak sempat diselamatkan.

"Saya hanya fikirkan keselamatan ahli keluarga dan membawa mereka keluar dari rumah untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak," katanya.

Iklan

Abdul Malik yang juga wartawan sambilan berkata, hampir lapan kali dia berpindah ke PPS sejak banjir mula melanda kawasan perumahan itu sejak 2012.

"Setakat ini lebih kurang lapan kali tempat ini dilanda banjir iaitu pada 2012, 2014 (dua kali), 2016, 2017, 2018, 2020 dan terbaharu pada Disember tahun ini.

Iklan

"Apa yang merunsingkan ialah air di kawasan ini susah untuk surut disebabkan beberapa faktor berkenaan aliran air," katanya.

Difahamkan, seramai 1,200 penduduk di kawasan perumahan itu terjejas dan terpaksa dipindahkan ke dua buah PPS iaitu di SK Kompleks Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak setelah banjir melanda kawasan perumahan itu sejak Isnin lalu.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Norma, 41, berkata, dia tidak menjangka banjir kali ini turut menjejaskan rumahnya kerana ia tidak berlaku pada tahun lalu.

Kata Norma, kawasan rumahnya mula dinaiki air jam 5.45 pagi tadi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh.

"Waktu itu air mula masuk melalui pintu dapur sebelum pintu utama sehingga paras lutut orang dewasa.

"Disebabkan air masuk begitu cepat ke dalam rumah, saya bersama suami dan anak hanya sempat kemas barang-barang penting sahaja serta memindahkan kucing dan arnab peliharaan ke tempat lebih tinggi," katanya.

Norma memberitahu, beberapa barangan tidak sempat diselamatkan termasuk sebuah motosikal.

"Ada juga barang yang saya tidak sempat alih ke tempat yang lebih tinggi termasuk sebuah motosikal, namun saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.