Negeri Sembilan teliti SOP perkhemahan

Iklan
Aminuddin
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian untuk diguna pakai oleh penyedia perkhidmatan perkhemahan dan pelancong di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perlu ada garis panduan yang jelas untuk mereka patuhi kerana setakat hari ini tiada SOP atau undang-undang khusus untuk mereka berbuat demikian.

"Tadi mesyuarat Exco kita ada menerima permintaan daripada persatuan eko-pelancongan ini untuk mereka mendaftar, cuma kita tidak tahu mereka perlu berdaftar kepada pihak yang mana. Kalau belum ada, kita perlu membuat SOP dan harus persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Iklan
Iklan

"Ia susulan berdasarkan trend hari ini ramai yang suka bermalam di khemah-khemah contohnya di pantai Port Dickson penuh setiap kali hujung minggu.

"Begitu juga dengan kawasan dekat tepi sungai, air terjun dan berbukit," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Justeru katanya, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan telah diminta untuk menyemak dan melihat undang-undang kecil sedia ada sebelum SOP berkaitan dilaksanakan.

Iklan

"Ia supaya dapat kita selaraskan sekali gus boleh memberikan keselamatan yang maksimum kepada orang ramai yang menggunakan perkhemahan terbuka ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada Jumaat, seramai 94 mangsa terlibat dalam runtuhan terdiri daripada pengunjung juga pekerja di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, semua lokasi rekreasi yang berisiko tanah runtuh ataupun kejadian kepala air di negeri ini telah ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dengan mengambil kira keadaan cuaca ketika ini.