KABUL - Penduduk Afghanistan pada Rabu menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan kemarahan terhadap larangan dikenakan pemerintah Taliban ke atas pelajar wanita.
Kebanyakan pengguna media sosial menggunakan hashtag #LetHerLearn sebagai tanda bantahan terhadap sekatan hak untuk golongan itu mendapatkan pendidikan di universiti.
Kumpulan penuntut yang terkesan juga hanya mampu menzahirkan kekecewaan mereka di Twitter dan Facebook selepas larangan tegas itu diumumkan pada lewat Selasa.
"Semester kelapan sudah tamat dan saya hanya tinggal empat lagi ujian untuk diduduki. Ya Tuhanku, jangan ambil harapan terakhir ini daripada saya," kata penuntut Universiti Kabul, Zamzama Ghazal yang turut menggunakan hashtag sama.
Larangan itu dikuatkuasakan kurang tiga bulan selepas ribuan pelajar perempuan di seluruh negara yang bercita-cita mahu melanjutkan pengajian ke menara gading menduduki ujian kemasukan ke universiti.
"Kami hadir ke kampus seawal jam 6.30 pagi (waktu tempatan) dan hanya pelajar lelaki dibenarkan masuk. Pengawal keselamatan mengarahkan kami supaya pulang ke rumah," ujar Tamana Aref di Twitter.
Media sosial turut dibanjiri rakaman video memaparkan kumpulan penuntut wanita menangis di luar pintu masuk kampus masing-masing setelah peraturan itu berkuat kuasa. - AFP