Lebuhraya Pasir Gudang umpama perangkap maut

Iklan
Keadaan Lebuhraya Pasir Gudang yang berlubang dan tidak rata walaupun sudah ditampal mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya terutama motosikal.

LEBUHRAYA Pasir Gudang sepanjang kira-kira 38 kilometer dari persimpangan Tampoi di Lebuhraya Skudai, bandar Johor Bahru ke bandar Pasir Gudang kini dianggap satu perangkap maut kerana keadaan jalan yang rosak teruk.

Keadaan jalan berlubang dan menakung air setiap kali hujan selain di beberapa laluan permukaannya tidak rata dan menggerutu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Iklan
Iklan

Terdapat lebih 50 lubang di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Lebuh raya berkenaan penting kerana ia merupakan satu daripada laluan utama ke Pasir Gudang yang menempatkan kawasan perindustrian terbesar di negara ini; menempatkan 5,000 kilang selain menghubungkan Pelabuhan Johor (Johor Port) dan Pelabuhan Tanjung Langsat (PTL).

Iklan

Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat minggu ini, ikuti laporan Zulhisham Isahak yang mendengar keluhan dan kekecewaan penduduk Pasir Gudang.

Kecewa dan putus asa! Itu adalah reaksi penduduk di daerah ini berkenaan masalah kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang.

Iklan

Menurut mereka, masalah tersebut bukan baharu dan sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada penyelesaian yang konkrit.

Pengguna lebuh raya berkenaan, Jazaidi Jamal, 51, pernah hampir kemalangan semasa memandu dalam perjalanan ke tempat kerja baru-baru ini.

"Semasa memandu tiba-tiba kereta di hadapan membrek untuk mengelak lubang tetapi saya sempat mengelak. Begitu juga dalam satu lagi insiden saya sempat mengelak apabila kenderaan di depan mengelak air bertakung.

"Terdapat juga kejadian kereta dan motosikal langgar lubang hingga mengakibatkan tayar dan rim pecah," katanya ketika ditemui.

Dia yang tinggal di Taman Bukit Dahlia dan bekerja di bahagian penyelenggaraan di sebuah kilang di sini berkata, setiap kali hujan lebat juga bimbang terkandas dalam banjir kilat di lebuh raya berkenaan.

"Ada beberapa kawasan ditakungi air apabila hujan lebat menyebabkan jalan rosak seperti di persimpangan bertingkat di Bandar Sri Alam selain berhampiran Kawasan Perindustrian Tebrau I, Taman Daya dan Kawasan Perindustrian Tampoi II," ujarnya.

Bapa kepada dua anak itu sentiasa berhati-hati melalui kawasan banjir kilat di lebuh raya tersebut seperti di susur ke Taman Rinting sehingga ke simpang ke Kota Puteri.

"Ini kerana kawasan tersebut rendah dan sudah beberapa kali banjir kilat. Saya risau sekiranya kereta terkandas dalam banjir kilat," katanya sambil mencadangkan tiga perkara bagi memastikan menyelesaikan masalah lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, Azian Zainul Bidin, 50, dari Taman Bistari Perdana turut berkongsi pengalamannya dihimpit sebuah kereta yang mengelak lubang semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada Disember 2020.

"Saya terbabas namun bernasib baik kerana dapat kawal kereta. Saya pernah saksikan beberapa motosikal terbabas dan terseret termasuk lori terbabas masuk ke laluan bertentangan," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, terdapat banyak kenderaan berat seperti lori dan treler menggunakan laluan tersebut dan itu merupakan antara faktor jalan rosak serta menambah kesesakan.

"Sepatutnya kenderaan berat dihadkan di lebuh raya ini contohnya pada waktu puncak antara 6.30 hingga 8.30 pagi dan 4 sehingga 6 petang. Ini akan mengurangkan risiko kemalangan serta memberikan keselesaan pengguna jalan raya lain," katanya.

Bagi pemandu lori, Aiman Hassan, 50, dari Desa Mutiara pula yang hampir setiap hari menggunakan lebuh raya itu mengakui banyak kali menyaksikan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal.

"Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat harus mengambil berat masalah ini kerana Lebuhraya Pasir Gudang adalah jalan utama paling sibuk dan sesak di Bandar Raya Johor Bahru terutama waktu pagi dan petang.

"Kenderaan berat banyak menggunakan jalan ini yang menjadi penghubung antara dua pelabuhan utama Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri. Ini belum dikira banjir kilat yang sebabkan banyak kenderaan tersadai dan berlaku kesesakan," katanya.

Dia berharap, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dapat membawa masalah tersebut ke Parlimen selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sekiranya terdapat ketirisan dalam projek naik taraf lebuh raya itu sebelum ini.

Lantik kontraktor bertanggungjawab selenggara lebuh raya

Sementara itu, kerajaan negeri disarankan melihat semula lantikan kontraktor yang bertanggungjawab bagi membaik pulih Lebuhraya Pasir Gudang.

Hujan lebat selama beberapa jam akan mengakibatkan banjir kilat hampir satu kilometer di Lebuhraya Pasir Gudang sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Pengerusi Pertubuhan Ihsan Pasir Gudang, Zamrin Hamzah berkata, ini kerana ada lubang yang baru ditampal dan diselenggarakan rosak semula dalam tempoh tidak sampai seminggu dibaik pulih.

"Keadaan ini menyebabkan satu kerugian kerana tetap perlu membayar kepada kontraktor terbabit.

"Kerajaan juga perlu mengkaji penggunaan kenderaan berat di lebuh raya ini dengan mengehadkan jumlah kenderaan pada waktu puncak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kerajaan negeri disaran mempertimbangkan pembinaan jalan raya berasaskan konkrit dan simen agar lebih berdaya maju bagi pelan jangka panjang terutamanya di kawasan terbabit.

Saranan itu katanya, perlu dipertimbangkan memandangkan Pasir Gudang merupakan kawasan industri yang menyaksikan penggunaan kenderaan berat amat tinggi saban hari.

"Pembinaan jalan tar yang menggunakan batu asphalt dan bitumen bagi kawasan perindustrian seperti ini dilihat tidak sesuai dan mudah rosak menyebabkan kerja penyelenggaraan menelan kos yang tinggi," katanya.

Beliau tidak mahu disebabkan lebuh raya berkenaan digunakan rakyat biasa dan bukan golongan kenamaan (VIP), maka keperluan untuk membaiki kerosakan tidak diendahkan walaupun difahamkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) banyak menerima aduan masalah kerosakan.

Katanya, amat menyedihkan apabila lebuh raya itu yang menjadi laluan penting di selatan semenanjung Malaysia menghubungkan Bandar Raya Johor Bahru, Bandar Raya Iskandar Puteri dan Bandar Raya Pasir Gudang masih dalam keadaan daif.