SHAH ALAM - Perbuatan menghina institusi diraja di negara ini terutamanya Yang di-Pertuan Agong adalah tindakan yang amat melampaui batas.
Malah perbuatan itu langsung tidak menggambarkan ciri-ciri sebagai seorang rakyat Malaysia yang patuh kepada prinsip Rukun Negara dan perlembagaan.
Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan tidak bertamadun dan biadab ini.
"Kita mohon kepada pihak polis dan agensi yang bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar mengambil langkah tegas terhadap mana-mana individu yang didapati memuat naik komen atau status yang menghina institusi diraja di Malaysia ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina Agong perbuatan melampau
"Ia bukan sahaja menjatuhkan maruah dan tidak menghormati pemimpin negara malah ianya mampu menimbulkan ketidakharmonian perhubungan di kalangan warganegara," katanya.
Katanya, berkaitan dengan komen yang didaftarkan atas nama Sabah-Sarawak Merdeka, laporan polis telah dibuat pada 11 April lalu di Balai Polis Dang Wangi.
"Laporan polis yang dilaporkan oleh Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latiff bersama Chew Sir Boon yang merupakan Presiden Young Malaysians Movement (YMM).
"Tindakan pemilik akaun ini disifatkan melampau apabila bertindak menggubah gambar YDP Agong dan kemudian telah memuat naik di laman sosial tersebut," katanya.
Menurutnya, Gerakan Belia 4B Malaysia menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun laman sosial tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan.
"Dalam soal ini kita perlu, bersikap tegas serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.
"Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum yang hidup secara aman damai dan menghormati budaya dan agama antara satu sama lain, perbuatan ini dilihat amat tidak wajar," katanya.