KUANTAN - Kawasan rumah dinaiki air menjadi lumrah bagi beberapa penduduk Kampung Bukit Palas, Cherating di sini ekoran kedudukan kediaman mereka di kawasan lembah yang agak rendah.
Setiap kali musim tengkujuh tiba, mereka sentiasa bimbang kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.
Justeru bagi penduduk terlibat, mereka sentiasa peka dengan perkembangan cuaca dan segera menyelamatkan harta benda ke tempat selamat bila hujan lebat berterusan.
Bagi Mokhtar Ismail, 66, rumahnya antara yang terkesan setiap kali banjir dan boleh dikatakan hampir setiap tahun dinaiki air.
Menurutnya, paling teruk ketika banjir pada 2014.
"Kali ini teruk juga sehingga kami tiga beranak terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating ini.
"Bagi saya, banjir sudah menjadi perkara biasa cuma keadaannya berbeza, kecil atau besar," katanya ketika ditemui di PPS SK Cherating pada Rabu.
Mokhtar berkata, dalam kejadian banjir sebelum ini, dia terpaksa menanggung kerugian apabila ada harta benda miliknya gagal diselamatkan.
"Belajar dari pengalaman itu, saya memang sentiasa bersedia awal setiap kali musim hujan tiba.
"Masalahnya, di luar musim tengkujuh pun kadang-kadang rumah dinaiki air juga bila hujan lebat turun dalam tempoh agak lama," katanya lagi.
Dia mendakwa, selain kedudukan rumahnya di kawasan rendah, masalah perparitan dan ketiadaan longkang sempurna di kawasan itu antara punca banjir berlaku.
"Jadi kita minta pihak berkaitan melibat perkara ini dan segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelak kejadian banjir terus berulang terutama banjir kilat," ujarnya.
Nasib sama dilalui seorang lagi penduduk Kampung itu, Romran Ismail ,60.
Katanya, dalam kejadian banjir dua hari lalu, ada barang di rumahnya gagal diselamatkan termasuk mesin basuh dan peti sejuk.
"Paling utama selamatkan diri dan keluarga dulu," katanya.
Menurutnya, masalah banjir yang berlarutan menjadi satu masalah bagi keluarganya dan penduduk lain.
"Setiap kali banjir sudah pasti ada barang akan rosak hingga terpaksa dibaiki atau diganti baharu.
"Keadaan ini agak membebankan namun kami tiada pilihan," katanya.
Romran berkata, air banjir juga lambat surut malah ada ketikanya bertakung sehingga beberapa hari dan menjejaskan kegiatan sehariannya.
"Ketiadaan longkang sempurna menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar dengan cepat jadi perkara ini harap mendapat perhatian segera pihak terlibat," katanya lagi.