KATHMANDU - Mahkamah Agung Nepal pada Rabu memerintahkan pembebasan Charles Sobhraj, pembunuh bersiri Perancis yang dipaparkan dalam siri Netflix 'The Serpent' yang bertanggungjawab atas beberapa siri pembunuhan di seluruh Asia pada 1970-an.
Mahkamah Agung memutuskan bahawa Sobhraj, 78, yang telah dipenjarakan di Nepal sejak 2003 kerana membunuh dua pelancong Amerika Utara, harus dibebaskan atas faktor kesihatan.
"Menahannya di penjara secara berterusan adalah tidak konsisten dengan hak asasi seseorang banduan.
"Jika tiada lagi kes tertangguh yang membolehkannya untuk terus kekal dalam tahanan, maka mahkamah memerintahkan pembebasannya hari ini dan pulang ke negaranya dalam tempoh 15 hari," menurut keputusan mahkamah yang dilihat AFP.
Selepas zaman kanak-kanak yang bermasalah serta beberapa hukuman penjara di Perancis kerana jenayah kecil, Sobhraj mula mengembara ke seluruh dunia pada awal 1970-an dan berakhir di ibu negara Thailand, Bangkok.
Modus operandinya adalah menawan dan berkawan dengan mangsanya, kebanyakan daripada mereka adalah pengembara 'Hippie' dari Barat, sebelum membius dengan dadah, merompak dan membunuh mereka.
Peramah, licik dan penggoda, dia terlibat dalam pembunuhan pertama seorang wanita muda Amerika yang mayatnya ditemui memakai bikini di pantai Pattaya pada tahun 1975.
Sobhraj yang bijak memanipulasi mangsanya akhirnya dikaitkan dengan lebih daripada 20 pembunuhan.
Mangsanya dicekik, dipukul serta dibakar dan Sobhraj sering menggunakan pasport mangsa lelakinya untuk pergi ke destinasi seterusnya.
Nama panggilan Sobhraj, 'The Snake', berasal daripada keupayaannya untuk mengambil identiti individu lain untuk melarikan diri daripada keadilan dan menjadi tajuk siri BBC serta Netflix.
Pada 1975, Sobhraj bersama teman wanita dari Kanada, Marie-Andree Leclerc dan rakan sejenayah dari India, Vijay Chowdhury singgah di Malaysia.
Chowdhury telah diarahkan untuk mencuri batu permata dan memberikannya kepada Sobhraj.
Lelaki tersebut kali terakhir ditemui ketika di Malaysia dan sehingga kini hilang tanpa berita.
Ramai yang percaya dia telah dibunuh sebelum Sobhraj bersama Leclerc terbang ke Geneva, Switzerland bersama permata yang dicuri Chowdhury.
Penjenayah berdarah Vietnam di sebelah ibu dan India di sebelah bapa, ditangkap di India pada 1976 selepas kematian seorang pelancong Perancis di sebuah hotel di Delhi, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana pembunuhan itu.
Dia pulang ke Perancis selepas dibebaskan dan tinggal di sana sehingga 2003 sebelum kembali ke Nepal, di mana dia dikesan oleh seorang wartawan di kawasan tumpuan pelancong di Kathmandu yang kemudiannya memberitahu pihak berkuasa tempatan.
Mahkamah Nepal menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun berikutnya kerana pembunuhan pelancong Amerika Syarikat (AS) Connie Jo Brunsich pada 1975.
Sedekad kemudian, dia juga disabitkan bersalah membunuh rakan kepada Brunsich yang berasal dari Kanada.
Pada 2008, semasa dalam tahanan, Sobhraj berkahwin dengan Nehita Biswas yang 44 tahun lebih muda daripadanya dan merupakan anak kepada peguam belanya. - AFP