IPOH - Kerajaan Perak telah memulakan gerak kerja memulihkan ekonomi negeri dalam tempoh lapan tahun menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian yang dijalankan menganggarkan lebih 53,000 rakyat kehilangan pekerjaan dan 80,000 usahawan terjejas akibat Covid-19, dua tahun lalu.
Menurut beliau, salah satu usaha yang dilaksanakan adalah membangunkan taman-taman perindustrian bagi menarik pelabur asing sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri (STeP) berusaha untuk membantu penjaja kecil mahupun peniaga yang terjejas. Mereka boleh menghubungi badan ini bagi mendapatkan khidmat nasihat bagaimana kerajaan negeri boleh membantu dari segi modal serta bimbingan memulakan pemasaran digital bagi membolehkan mereka mengikuti arus perniagaan dengan cara baharu," katanya.
Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ong Seng Guan (DAP- Pokok Assam) berkaitan usaha jangka panjang membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyediakan peruntukan lebih RM285 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang digerakkan pelbagai agensi bagi membantu rakyat terutama golongan B40 yang terjejas sejak dua tahun lalu.
"Selain itu, Program Kad Perak Prihatin yang telah dilaksanakan sejak 2019 telah banyak membantu hampir 20,000 golongan sasar dalam mendepani cabaran ketidaktentuan harga barangan ini.
"Kerajaan Negeri juga menyediakan Kedai Bergerak yang dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya yang menawarkan harga barangan keperluan lebih murah daripada harga pasaran," katanya.