Penduduk di kawasan tidak berisiko perlu peka situasi banjir

Iklan
Aiman Athirah (kanan) bersama Mazura (kiri) meninjau bekalan keperluan mangsa banjir di Depoh simpanan keperluan bencana JKM di Pulau Kerengga, di Marang pada Khamis.

MARANG - Penduduk yang tinggal di kawasan tidak berisiko perlu peka terhadap perkembangan terkini banjir bagi mengelak berlakunya situasi banjir di luar jangkaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, maklumat terkini mengenai perkembangan bencana boleh diperoleh melalui portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Iklan
Iklan

Jelas beliau, selain dua portal berkenaan, maklumat terkini banjir juga boleh diperoleh melalui agensi lain yang turut menyalurkan perkembangan terkini bencana dengan lebih telus dan tepat.

"Saya difahamkan, di peringkat JKM daerah sendiri ada membuat simulasi-simulasi banjir bersama pegawai daerah serta agensi dan ia boleh diperkasakan lagi," katanya ketika meninjau bekalan keperluan mangsa banjir di Depoh simpanan keperluan bencana JKM di Pulau Kerengga, di sini, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya akan bincang bersama pegawai daerah berhubung langkah segera yang boleh diambil bagi memperkemaskan lagi persiapan berdepan bencana luar jangka terutama dalam berdepan gelombang banjir seterusnya di negeri itu.

Iklan

"Kita akui apabila berlaku bencana di kawasan yang tidak pernah terlibat banjir, ia agak sukar, namun kita mengambil berat berhubung perkara itu.

"Persediaan untuk berdepan situasi itu perlu diperkasakan lagi bagi mengelak situasi sama berulang," ujar beliau.

Bercakap mengenai punca kelewatan bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS), Aiman Athirah mengakui ketiadaan jentera berat antara punca perkara itu berlaku.

Sehubungan itu, katanya, persediaan itu perlu diteliti dengan lebih rapi oleh agensi lain dan isu itu dalam tindakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Banjir buruk di Terengganu yang berlaku pada Ahad lalu meninggalkan kesan besar apabila seluruh daerah di Terengganu terjejas.

Ada antara mangsa banjir mengakui pertama kali berdepan situasi itu kerana ia berlaku di luar kebiasaan.