Lebih 1,000 pemohon tunggu rumah PPR

Iklan
Sandrea menjawab soalan lisan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu - Sungai Manik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, Ipoh. - Foto Korporat SUK Perak

IPOH - Sebanyak 1,378 orang terpaksa dimasukkan dalam senarai menunggu bagi permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Perak tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, projek berkenaan menerima permintaan tinggi dan mendapat keperluan mendesak bagi memiliki kediaman yang selesa serta murah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini sejumlah 2,876 unit rumah telah dibina di 16 PPR di seluruh negeri.

"PPR adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan yang merupakan agensi pelaksana utama projek PPR negara.

Iklan

"Justeru itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) mencadangkan empat tapak dan diharapkan kementerian dapat meluluskan permohonan ini dalam membantu rakyat yang memerlukan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu-Sungai Manik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Sandrea turut bersetuju dengan cadangan untuk melibatkan pihak swasta dalam mendepani cabaran membina lebih banyak projek PPR bagi mengurangkan bebanan rakyat terhadap kadar sewa rumah yang tinggi.

"Isu utama yang dihadapi PPR adalah tempoh masa menunggu yang panjang serta unit yang tidak mencukupi. Dalam hal ini, kerjasama dengan pihak swasta membantu menambah baik dasar penyewaan yang sedia ada.

"Sektor swasta juga boleh memainkan peranan dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu kami menaik taraf kemudahan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk seperti pembinaan perpustakaan, mengecat semula bangunan dan sebagainya," katanya.