SHAH ALAM - Institusi penting yang menyumbang kepada penambahbaikan negara seperti Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sewajarnya dipertahankan.
Bekas Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, peranan yang dimainkan GIACC sangat besar biarpun baru ditubuhkan hampir empat tahun lalu.
Katanya, berfungsi sebagai badan membuat perancangan dan penyelarasan terhadap perkara-perkara melibatkan hal governan, integriti serta tadbir urus negara dengan lebih baik telah terbukti berjaya dicapai oleh badan yang baru ditubuhkan itu.
Menurutnya, meskipun masih 'muda' usia penubuhannya, GIACC berjaya membantu negara memperoleh keputusan yang amat baik dalam Indeks Ketelusan Antarabangsa.
"Malaysia pernah mencatat keputusan terbaik iaitu 5.32 pada 1996, biarpun sebelum itu negara pernah memperoleh 4.3.
"Pencapaian baik pada 2020 itu berjaya dicapai hasil daripada perancangan dan kerjasama cemerlang yang disumbangkan oleh pakar pelbagai bidang yang ada di dalam GIACC," katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, sebelum tertubuhnya GIACC, negara sudah mempunyai Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).
Beliau yang kini bertugas sebagai Fellow Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sekiranya dikatakan GIACC bertindan tugas dan peranan dengan agensi lain, ia mungkin hanya melibatkan JITN.
Meskipun begitu katanya, JITN sudah digabung dan disatukan dengan GIACC itu sendiri.
Sehubungan itu katanya, dia dan Abu Kassim langsung tidak melihat berlakunya pertindihan tugas antara dua agensi tersebut.
"Tiap-tiap agensi ada peranan masing-masing dan pastinya GIACC telah terbukti memberi manfaat serta berkesan dalam proses pembangunan negara.
"Selain bertindak sebagai unit perancang mengenai governan untuk negara, GIACC juga merupakan unit memantau pelaksanaan pelan antirasuah nasional.
"Ini bersesuaian dengan Artikel 5 United Nation Convention Againsy Corruption (UNCAC) bahawa setiap negara yang menjadi penandatangan UNCAC perlu mempunyai badan yang merancang dan mengawal pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional," katanya.
Anis berkata, jika dilihat selepas pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional melalui usaha GiACC, Malaysia berjaya menaikkan pencapaian dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dari 47 kepada 53, selain kedudukan dari 61 naik kepada 51.
"Sekiranya Unit Perancang Ekonomi (EPU) bertindak sebagai perancang ekonomi yang membantu pembangunan negara, maka GIACC pula adalah unit perancang governan yang perlu dilihat sama penting seperti EPU.
"Kalau GIACC itu tidak elok dan dilihat bertindan tugas, maka EPU juga perlu ditutup kerana ia pun overlap (bertindan) juga dengan agensi lain.
"Maka Pelan Anti Rasuah Nasional itu harus dipantau oleh agensi yang independent (bebas) kerana tidak mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang perlu memantau diri mereka sendiri," katanya.