KKM fokus sedia aset bencana

Iklan
Dr Zaliha (kanan) menaiki lori ke PPS Gual Periuk, Rantau Panjang yang menempatkan lebih 1,000 mangsa banjir.

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memfokuskan kepada penyediaan aset khusus untuk kemudahan penyelamatan kakitangan kesihatan ketika bencana.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata, kementerian itu akan melihat kepada keperluan yang lebih spesifik.

Iklan
Iklan

"Ada bajet yang sudah diluluskan tetapi kita akan melihat keutamaan jabatan kesihatan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Sempena Lawatan Kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.

Dr Zaliha (tengah) ketika sidang akhbar sempena Lawatan Kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas pada Khamis.

Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memohon peruntukan kira-kira RM2.7 juta untuk peralatan dan pengurusan banjir di negeri ini.

Iklan

Antara keperluan utama melibatkan kenderaan iaitu kira-kira RM2.3 juta manakala peralatan perubatan berjumlah RM141,500 dan peralatan bukan perubatan berjumlah RM268,440.

Selain itu, Dr Zaliha memberitahu, KKM turut menggerakkan 20 pasukan kesihatan mental dan sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memberi perkhidmatan sokongan emosi dan bantuan awal psikologi (PFA) kepada mangsa banjir.

Menurut beliau, kementerian itu juga bekerjasama membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Secara keseluruhan, sebanyak 835 PFA telah dilakukan kepada orang awam dan 21 PFA kepada petugas barisan hadapan dengan tiada kes yang dirujuk kepada Pakar Petubatan Keluarga atau Pakar Perubatan Psikiatri," katanya.

Tambah beliau, antara perkhidmatan yang diberi ialah relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan.

Dr Zaliha bersama pasukan kesihatan kemudian menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam ke PPS Gual Periuk, Rantau Panjang yang menempatkan lebih 1,000 mangsa banjir sebelum bergerak ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.