KUANTAN - Dua beradik yang baru berkhatan terpaksa 'berpantang' dalam keadaan kurang selesa di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di sini selepas rumah keluarga mereka di Kampung Seberang Sungai Ular dinaiki air pada Isnin.
Mohd Syakir Adha Mohd Azahari, 11, dan adiknya Mohd Asyraaf Adha, 9, bersama ahli keluarganya yang lain dipindahkan dengan bantuan pihak bomba, awal pagi Isnin lalu.
Ibu mereka, Noor Fazliana Mat Nasir, 36, berkata, kedua-dua anaknya itu berkhatan pada Sabtu dan hanya sempat sehari berehat di rumah.
Menurutnya, ekoran hujan lebat berterusan, kawasan rumahnya dinaiki air hingga memasuki dalam rumah.
"Memandangkan keadaan air semakin tinggi, kami ambil keputusan berpindah.
"Berikutan agak sukar untuk membawa keduanya dalam keadaan sedemikian, jadi kami dapatkan khidmat pihak bomba," katanya ketika ditemui di PPS SK Sungai Ular di sini pada Khamis.
Noor Fazliana dan enam ahli keluarganya antara 35 mangsa banjir yang maaih berada di pusat pemindahan itu sehingga jam 12 tengah hari.
Suri rumah itu berkata, walaupun terpaksa tinggal dalam keadaan kurang selesa, mereka sekeluarga berada dalam keadaan baik.
"Selain itu, kedua-duanya perlu makan berpantang jadi agak sukar mendapatkan makanan sesuai untuk mereka di sini," katanya.
Noor Fazliana berkata, keadaan banjir telah surut sepenuhnya, namun dia belum sempat untuk balik membersihkan rumah.
"Keadaan rumah agak teruk selain kesan banjir, bahagian siling juga runtuh dan terpaksa diganti baharu.
"Memang sudah banyak kali kami berpindah ke sini, namun kejadian banjir kali ini paling teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.