GEORGETOWN - Nooraini Ahmad, 65, biras kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang meninggal dunia semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tok Kun Bawah, dekat sini hari ini.
Allahyarhamah yang merupakan isteri kepada Marzhuki Ibrahim, adik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, meninggal dunia di Medan, Indonesia semalam berikutan komplikasi kesihatan sebelum dibawa ke sini untuk urusan pengebumian.
Wan Azizah yang ditemui Bernama selepas selesai solat jenazah di Masjid Cherok Tok Kun berkata semasa di Medan, Allahyarhamah kelihatan sihat dan tidak menunjukkan mengalami masalah kesihatan yang serius sebelum meninggal dunia.
"Allahyarhamah seorang yang baik dan kami semua sedih dengan kehilangannya,” katanya yang diiringi Anwar untuk menziarahi jenazah di kediaman keluarga Mazhuki di Bukit Minyak, Seberang Perai sebelum jenazah dibawa ke Masjid Cherok Tok Kun.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut sama menunaikan solat jenazah berkenaan.
Sementara itu, anak Allahyarhamah, Mardiana Azzuany Marzhuki, 35, memberitahu Bernama bahawa dua orang adik perempuannya mengiringi ibu dan ayahnya untuk pergi ke Medan beberapa hari lepas bagi meraikan ulang tahun ibu mereka yang jatuh 10 April lepas.
"Sebelum ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan nampak sihat sehinggalah dia mengadu sakit kira-kira pukul 12 tengah hari semalam,” katanya yang merupakan anak ketiga dalam enam orang adik-beradik.
Menurutnya jenazah ibunya telah dibawa balik dengan penerbangan dari Medan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira jam 5 pagi tadi. - Bernama