Sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup ditubuhkan

Iklan
Salahuddin ketika ditemui pemberita di kementeriannya selepas menerima sumbangan barangan makanan asas daripada Syarikat Tamin Sdn Bhd bagi bantuan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor pada Khamis. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Satu sekretariat tetap yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Ekonomi, akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sekretariat itu ditubuhkan kerana KPDN tidak boleh bekerja secara bersendirian untuk membawa aspirasi besar mengenai kos sara hidup.

Beliau berkata, sekretariat yang akan diketuai oleh ketua setiausaha dua kementerian itu serta dianggotai pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), akan mengemukakan pelan yang komprehensif dalam menggarap persoalan kos sara hidup.

"Kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa boleh mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya kita dapat bergerak ke hadapan dengan lebih efisien," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan makanan asas daripada Syarikat Tamin Sdn Bhd di kementeriannya di pada Khamis.

Sebelum itu, Salahuddin mengadakan mesyuarat selama dua jam bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang turut dihadiri pegawai DOSM dan EPU.

Menyifatkan mesyuarat itu membuahkan hasil, Salahuddin berkata banyak perkara dibincangkan antaranya tentang pelaksanaan program jangka pendek dan panjang berkaitan kos sara hidup yang harus ditangani kedua-dua kementerian itu.

Seterusnya, beliau bercadang mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan serta kementerian-kementerian lain yang menganggotai Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Ditanya mengenai situasi bekalan makanan dalam negara, Salahuddin berkata, maklum balas yang diterima daripada MAFS menunjukkan bekalan makanan setakat ini, sehingga perayaan Krismas mencukupi.

"KPDN akan terus pantau kestabilan barangan di pasaran seterusnya memantau skim harga kawalan perayaan Krismas yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.

Mengenai sumbangan barangan makanan asas yang diterima hari ini, beliau berkata barangan itu akan diselaraskan Sekretariat Food Bank Malaysia di bawah kelolaan KPDN untuk diedar kepada mangsa banjir. - Bernama