BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir iaitu seorang kanak kanak lelaki yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini disambung pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, operasi SAR telah dihentikan sementara pada jam 4.30 petang Khamis akibat hujan lebat.
"Operasi akan disambung semula pada jam 8 pagi, esok (Jumaat)," katanya.
Pada jam 11.04 pagi, empat mayat mangsa tanah runtuh ditemui di sektor C (riverside) di kedalaman tujuh meter.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang akhbar khas di lokasi kejadian mengesahkan jumlah sebenar mangsa terlibat bencana adalah seramai 92 orang.
Baki mangsa yang sedang dicari adalah seorang kanak-kanak lelaki.