EMPAT belas jurulatih dan pentadbir sukan dari Sabah dipilih menyertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat (AS) untuk memberi pendedahan mengenai cara kepimpinan Amerika, amalan terbaik dan kontak penting dalam sukan terutama bola sepak.
Program yang berlangsung dari 6 hingga 23 Januari 2023 itu, membolehkan peserta mempelajari teori dan teknik terkini kejurulatihan serta bertemu pertubuhan sukan bertaraf dunia di Philadelphia dan Miami.
"Mereka juga akan menghadiri Konvensyen Jurulatih Bola Sepak Bersatu 2023, acara pembangunan profesional terkemuka untuk jurulatih dan pentadbir bola sepak.
"Setelah tamat program, peserta akan berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang mereka peroleh dengan komuniti tempatan melalui pelbagai program melatih jurulatih dan klinik bola sepak di negeri Sabah," menurut kenyataan Kedutaan AS di Malaysia.
Melalui program ini, peserta berpeluang belajar daripada pelbagai pengamal - pentadbir sukan belia rekreasi berasaskan komuniti sehinggalah kepada jurulatih liga profesional.
Peserta terdiri Farish Aziz dan Hafipah Mohaidil dari Likas; Abdul Rahim Abu dari Bongawan; Alice Mic Michael dari Kiulu; Evlin Sulaiman dari Tenom; Melvin Tan dari Kota Belud; Rizal Hamid dari Putatan; Awang Shahzmee dari Tuaran; Annabelle Andrews dan Lindsay Michael dari Ranau; Nazrin Noin dari Papar; Fitri Amri dari Banggi; dan Ayrton Sikawah dan Elecsie Joseph dari Penampang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta yang mengunjungi beliau di pejabatnya di sini.
Beliau berkata, sukan adalah cara terbaik untuk memperkasa belia dan membina daya tahan serta kemahiran kepimpinan mereka.
Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, AS mengiktiraf kuasa sukan dalam merapatkan rakyat dan negara dengan mengamalkan nilai sejagat untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian sosial.
"Saya berharap semua jurulatih dan pentadbir sukan mendapat pengalaman daripada program pertukaran yang bermanfaat ini dan mengharapkan mereka dapat memberi impak berterusan kepada belia dalam komuniti tempatan," kata beliau.
Diuruskan oleh Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan (ECA) Jabatan Negara AS, program Pelawat Sukan memanfaatkan sukan untuk memperkasa jurulatih dan pentadbir muda dengan kemahiran kepimpinan dan penyelesaian konflik serta menggalakkan keselamatan dan kestabilan serantau.
Ia juga bertujuan memperkasa wanita dan kanak-kanak perempuan, mempromosi hak orang kurang upaya serta memupuk kejayaan akademik dan kepimpinan.
Untuk maklumat lanjut layari @svsabahrepresent di Instagram, Facebook, Youtube, dan Tik Tok. Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi ketua program Farish Aziz di FarishAziz@kk12fm.com - Bernama