Sentimen negatif terhadap PH faktor Tok Mat menang

Iklan
Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor

KUANTAN - Sentimen negatif masyarakat terhadap PH dan kekuatan dua parti gabungan antara Umno dan Pas menjadi faktor utama calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang di PRK Dun Rantau.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, kejayaan PRK Dun Rantau merupakan kemenangan besar buat Mohamad kerana PH hanya berjaya memenangi satu daripada kesemua empat belas Pusat Daerah Mengundi di Rantau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil trek rekod beliau sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun dan mempunyai hubungan yang baik bersama penduduk dan pemimpin tempatan telah mencatatkan kemenangan kepada BN di kawasan majoriti India selain mendapatkan sokongan sebahagian komuniti Cina di Rantau.

"Namun hal yang membolehkan Tok Mat mencapai kemenangan yang lebih besar dari yang dijangka adalah sentimen semasa rakyat yang tidak positif terhadap PH yang menyebabkan PH kehilangan sokongan pengundi atas pagar.

Iklan

"Malah dengan kekuatan Umno dan Pas boleh menjadi seimbang dan ini menyebabkan keputusan sukar dijangka dengan jelas kerana ia sering ditentukan oleh pihak ketiga, iaitu kumpulan pengundi atas pagar.

"Dalam konteks persaingan ini, isu semasa dan sentimen pengundi, selain faktor-faktor lain seperti ketokohan calon dan manifesto yang berpengaruh, sangat kritikal terhadap keputusan pengundian. Malah PH memenangi PRU 2018 atas faktor-faktor ini,"katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Muhamad Nadzri berkata, kemenangan BN kali ketiga secara berturut-turut merupakan satu 'wake-up call' buat PH untuk lebih serius dalam merencana pembangunan sosio-ekonomi negara, khasnya dengan bertunjangkan rakyat dan modal insan berbanding dasar-dasar pro-kapitalis dan projek mega.

Menurutnya, ini membuktikan kesetiaan politik tidak lagi penting buat rakyat sebaliknya keluhan dan sokongan akan datang apabila suara mereka itu didengari di samping menuntut PH lebih sensitif dalam pengurusan politik, nilai dan masyarakat Malaysia.

"Banyak yang telah PH lakukan demi memenangi PRK di Dun Rantau walaupun dari segi kawasan berpihak kepada PH kerana DUN tersebut merupakan kawasan bercampur di samping PH kini telah mentadbir kerajaan pusat dan Negeri Sembilan.

"Isu semasa dan sentimen pengundi buat masa ini di Rantau, dan banyak kawasan khasnya di Semenanjung, tidak begitu memihak kepada PH dalam beberapa isu penting.

"Sesetengah rakyat melihat, pemerintahan PH setakat ini tidak banyak berbeza dengan kerajaan lama meskipun telah ada beberapa tindakan pembetulan dilakukan oleh kerajaan semasa," katanya

Mohamad yang mewakili BN berjaya menewaskan calon PH, Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.

Kemenangan beliau menidakkan hasrat dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin, 67, dan R Malarvizhi, 51.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi manakala Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 79 dan 83 undi.