Mydin jual minyak masak 5kg RM28.50

Iklan
Minyak masak serendah RM28.50 yang boleh didapati di Mydin.

SHAH ALAM - Pasar raya terkemuka tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) antara peruncit yang menawarkan harga termurah bagi minyak masak iaitu serendah RM28.50 bagi lima kilogram (kg).

Sementara itu, menurut tinjauan Sinar Harian di tiga lagi pasar raya besar lain sekitar Lembah Klang mendapati bahawa minyak masak bagi lima kg masih dijual dengan harga yang sama atau sedikit murah dari yang ditetapkan kerajaan iaitu RM30.90.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, harga minyak masak Ameera itu dijual dengan harga rendah kerana ia dibuat atas jenama Mydin sendiri.

"Kami berani letakkan dengan harga murah memandangkan minyak masak Ameera ini merupakan Pengeluar Peralatan Asal (OEM) bersama Mydin. Ia dikeluarkan atas jenama Mydin sendiri.

Iklan

"Jadi, kami tidak perlu bayar kos pengiklanan, penjenamaan dan sebagainya untuk mempromosikannya. Oleh sebab itu ia boleh dijual dengan harga yang sebegitu berbanding jenama yang lain.

"Selain itu, kami juga tidak mengambil untung yang terlalu banyak dengan penjualan minyak masak ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang.

Pada 1 Disember, harga runcit maksimum minyak masak bagi tempoh 8 Disember 2022 hingga 7 Januari 2023 kekal pada RM6.90 sekilogram, RM13.30 bagi dua kilogram (kg), RM19.60 bagi 3kg dan RM30.90 bagi 5kg.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, penetapan harga itu berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia (CPO).

Ulas Ameer, bagi minyak masak jenama lain, harga masih dijual dengan harga sama atau sedikit rendah mengikut ketetapan kerajaan.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk menurunkan harga minyak, beliau berkata, ia adalah tertakluk kepada pengumuman kerajaan dan juga purata harga minyak sawit mentah.

"Barang (minyak) ini kena ikut harga pasaran. Kalau kerajaan umum turun, jadi kita kena ikut. Kalau naik, kita juga terpaksa naikkan harga. Pembekal akan ikut arahan daripada kerajaan,” ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan agar orang ramai dapat membuat pilihan bijak dengan membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membelinya.