Thailand akan putuskan ke mana 'Jho Low 2' akan diekstradisi

Iklan
Teow Wooi Huat
BANGKOK, - Mahkamah Thailand akan memutuskan ke mana ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki Teow Wooi Huat akan diekstradisi, selepas Malaysia turut memfailkan permohonan ekstradisi ke atas usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu pada 20 Disember.

Permohonan ekstradisi Malaysia didengar oleh Mahkamah Jenayah Bangkok pada Khamis.

Peguam Juti Suanraksa berkata, pasukan pembelaan akan menyerahkan dokumen diperlukan untuk dia diekstradisi ke Malaysia.

Wooi Huat ditahan pada 21 Julai tahun ini dan pada 1 Ogos dimaklumkan dia dikehendaki oleh pihak berkuasa di China kerana menipu pelabur menerusi skim pelaburan meragukan.

Dia sedang dicari oleh Malaysia dan China dengan China terlebih dahulu memohon dia diekstradisi ke negara berkenaan.

Juti berkata pasukan peguam pada Khamis turut mempersoalkan mengapa sejak penahanannya, Wooi Huat tidak pernah dimaklumkan mengapa visanya dibatalkan.

Wooi Huat, pengasas Kumpulan MBI, berada dalam tahanan Polis Imigresen Thailand lebih 150 hari selepas visanya dibatalkan pada 21 Julai. Sejak itu, dia menunggu pengusiran oleh pihak berkuasa Thailand.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu dia disoal siasat susulan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.

Pada 25 Julai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, pasukan itu dalam proses memohon agar Wooi Huat diekstradisi ke Malaysia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada 4 Disember, penolong ketua polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn berkata, Wooi Huat akan dihantar pulang sebelum akhir bulan ini. - Bernama