MERAK marah betul bila lihat masih ada orang yang tak faham-faham tentang adab dan etika ketika bermain media sosial. Masih ada ghairah nak kongsi konten yang kononnya boleh trending biarpun terpaksa dedahkan aib orang lain dan bertentangan dengan agama serta adat ketimuran.
Ahad lalu, kes kematian tiga beradik yang terkena renjatan elektrik di rumah mereka di Tumpat, Kelantan menjadi isu viral. Puncanya bila ada netizen yang muat naik video di tempat kejadian tanpa rasa bersalah turut merakamkan keadaan jenazah ketiga-tiga mangsa tanpa sebarang tapisan.
Merak pun ada tonton video itu melalui platform sosial media dan juga yang dikongsi dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.
Mula-mula Merak tengok di awal video ada seorang petugas syarikat tenaga berkongsikan situasi secara langsung di tempat kejadian sebelum dia mengalihkan lensa kamera merakam keadaan mangsa-mangsa yang masih terbaring dalam air.
Bila sampai bahagian itu, Merak terus berhenti tengok video itu; tak sampai hati nak tengok lebih-lebih lagi. Kasihan dengan mangsa dan keluarga mereka yang didedahkan aibnya. Sampai keluarga mangsa terpaksa merayu dipadamkan dan jangan tularkan video menyayat hati itu.
Merak tak faham dengan perasaan kaki rakam dan kaki viral ini. Mereka tak ada rasa simpati, kasihan dan belas ihsan ke terhadap mangsa-mangsa? Takkanlah disebabkan mahu jadi orang pertama yang berjaya tularkan sesuatu benda itu, sampai sudah tak fikir perasaan orang lain?
Ingatlah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah,"Barang siapa yang menutup aib saudara Muslim yang lain, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”
Cuba bayang andai suatu hari nanti, ALLAH takdirkan kita pula berada di tempat mangsa atau jadi ahli keluarga mangsa, apa perasaan kita jika orang lain pun buat benda yang sama?
Tak salah untuk kita tularkan sesuatu perkara tapi sebelum nak buat kita kena nilai dulu baik buruknya tindakan kita.