Utamakan keselamatan, ingat orang tersayang

Iklan

DISEMBER adalah bulan yang dinanti-nantikan. Kira-kira lapan hari lagi tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya.

Pastinya jumlah hari yang akan dilalui itu menjadi pecutan terakhir untuk kita menyemak semula 'impian' yang disenaraikan pada tahun 2022 sama ada sudah tercapai atau tidak.

Mungkin ada yang akan meneruskan impian yang belum dicapai ke tahun 2023 seperti sambung belajar, melancong bersama keluarga, memiliki zuriat, mengukuhkan perniagaan, memiliki rumah dan berkeluarga sendiri, menunaikan umrah, melancong ke negara-negara Eropah dan berdiet.

Iklan
Iklan

Ramai yang mendoakan tahun 2023 akan memberikan lembaran baharu buat semua dengan mencipta impian dan harapan yang indah untuk melakarkan pelbagai kejayaan. Sama-sama kita doakan agar segala impian kita akan tercapai!

Bagaimanapun, penulis ingin mengingatkan kepada semua untuk mengutamakan keselamatan masing-masing kerana Covid-19 masih berada di sekeliling kita, ia belum berakhir. Negara kita masih lagi mencatatkan jumlah pesakit Covid-19 pada setiap hari.

Iklan

Selain itu, faktor cuaca yang tidak menentu, musim banjir dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa kawasan dalam negara perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Pastikan kita mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Iklan

Penulis yakin, ramai yang merancang untuk menghabiskan masa cuti dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik kerana bulan Disember mempunyai cuti sekolah yang panjang.

Ada yang memilih untuk balik kampung, melancong ke destinasi menarik, makan angin dan membeli-belah di luar negara, mengadakan majlis keraian, perkahwinan dan berkhatan.

Selain Covid-19, pandanglah dengan mata hati apa yang berlaku di sekeliling kita. Ambillah pengajaran tragedi menyayat hati yang berlaku dalam negara seperti tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lepas dan bencana banjir di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia.

Setakat 12 tengah hari pada 22 Disember 2022, menyaksikan seramai 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 nyawa terkorban dan tiga lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit dengan insiden itu.

Selain itu, bencana banjir di beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur Malaysia sejak awal Disember seakan-akan bah pada tahun 2014 (semoga dijauhkan).

Setakat 11 pagi 22 Disember 2022, sebanyak lima kes kematian iaitu empat di Kelantan manakala satu di Terengganu. Setakat 10 pagi 22 Disember 2022, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan memaklumkan jumlah mangsa banjir di tempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan seramai 30,115.

Sementara itu JBPN Terengganu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu seramai 36,231 manakala JBPN Pahang merekodkan jumlah mangsa banjir di Pahang seramai 30 orang.

Ada dalam kalangan mangsa banjir kini mungkin sudah tiada tempat tinggal, kerugian ribuan ringgit kerana kerosakan harta benda, kereta ditenggelami banjir, terputus bekalan makanan dan hubungan, malah ada yang terpaksa minum air banjir.

Laporan media mengenai keadaan mereka yang kehilangan anak, rakan-rakan, cucu, saudara-mara dalam sekelip mata akibat tanah runtuh dan banjir yang melanda di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia sangat meruntun jiwa dan mencengkam emosi kita semua.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada awal November dan berterusan sehingga Mac 2023.

MetMalaysia menjangkakan akan berlaku hujan lebat dan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan tertentu, sekiranya berlaku air pasang besar, ia akan menambahkan risiko.

Kita perlu sentiasa bersiap sedia dan menjaga keselamatan masing-masing dan mengutamakan keluarga. Jika boleh, kita menangguhkan terlebih dahulu aktiviti atau program yang dirancang buat sementara waktu.

Pastikan ahli keluarga kita berada di tempat yang selamat, elak mengunjungi kawasan yang berisiko dan berbahaya.

Kita juga perlu prihatin dan peka dengan laporan cuaca dan amaran yang dikeluarkan pihak berkaitan sama ada di media elektronik dan semua platform media sosial.

Jangkaan seperti hujan, kawasan tanah runtuh, ribut petir dan angin kencang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kini mudah diperolehi dengan kecanggihan teknologi terkini.

Orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang sahih daripada laman web rasmi pihak berwajib dan media.

Penulis juga ingin mengingatkan kepada orang untuk tidak mengambil kesempatan dengan menyebarkan berita atau maklumat yang tidak tepat seperti banjir, tanah atau jambatan runtuh sehingga mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan panik kepada orang ramai.

Marilah kita berdoa agar dijauhkan bencana buruk pada musim tengkujuh pada kali ini.

*Norshahzura Mat Zuki ialah Koordinator Advertorial Sinar Harian