PONTIAN - Polis mengesahkan dua pesara kerajaan yang maut selepas kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) terbabas ke dalam parit di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, di sini, petang Khamis masing-masing akibat lemas dan serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, mangsa Hasan Ayob, 66, yang juga pesara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) maut disebabkan serangan jantung, manakala Abd Rashid Abd Malek, 63, pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula lemas.
"Keadaan Abd Rashid tertindih di bawah ATV manakala pembonceng, Hasan Ayob dipercayai cuba membantu namun tetapi gagal untuk mengalihkan ATV tersebut akibat berat dan paras air parit di bahagian pinggang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohammad Shofee berkata, akibat kejadian tersebut Abd Rashid dipercayai mati lemas, manakala Hasan keletihan, sebelum kedua-duanya dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Pontian.
Ujarnya, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian Abd Rashid disebabkan lemas manakala Hasan pula disebabkan serangan jantung.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua lelaki warga emas maut apabila ATV yang ditunggang mereka terbabas dalam parit di Jalan Kampung Seri Gambut di sini.