KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela).
Duit syiling berkenaan akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling peringatan perak sterling berwarna (pruf) dan emas Nordic Brilliant Uncirculated (BU).
Nilai muka duit syiling peringatan perak sterling itu adalah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping dan sejumlah 1,000 keping telah ditempa.
Duit syiling peringatan emas Nordic seberat 8.5 gram yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain mempunyai nilai muka RM1 dan dijual pada harga RM16.50 sekeping.
"Selain itu, duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk set 2 dalam 1 dijual pada harga RM330 setiap satu.
"Setiap set ini mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic dengan sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian,” kata bank pusat itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10.00 pagi hari ini (Jumaat) hingga 11.00 malam Ahad, 8 Januari 2023.
Bank pusat itu juga meminta orang ramai untuk membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.
"Semua tempahan akan dipertimbang sewajarnya dan tiada keutamaan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Pengundian akan dijalankan sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan,” katanya. - Bernama