GEORGETOWN - Bekalan telur ayam di Pulau Pinang dijamin mencukupi sepanjang musim perayaan Krismas yang bakal disambut pada Ahad ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, setakat ini bekalan makanan asas tersebut di negeri ini telah pulih sehingga 70 peratus.
Menurutnya, walaupun telur ayam mendapat permintaan tinggi, ia masih mencukupi susulan kemasukan bekalan dari India baru-baru ini.
"Bekalan telur ayam di pasaran dijamin mencukupi bagi menampung permintaan tinggi pengguna termasuk ketika musim perayaan Krismas. Ini kerana, bekalan yang kita import dari India dijangka dapat mengimbangi bekalan telur ayam tempatan ketika ini.
"Menerusi tinjauan kita, di pihak pemborong mereka memperoleh bekalan telur seperti biasa, cuma ada kalangan peruncit yang mengalami gangguan bekalan kerana beberapa faktor lain," katanya ketika sidang akhbar di Sam Groceria, di Strait's Quay di sini pada Jumaat.
Jegan sebelum itu meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 Pulau Pinang di pasar raya berkenaan.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.
Sebanyak enam jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 dan antara barangan itu adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau dan lain-lain.
Tambah beliau, pemantauan pihaknya mendapati semua gred telur ayam iaitu A, B dan C dan sebagainya berada di pasaran.
"Terpulang kepada pengguna untuk membeli telur mengikut gred yang mereka mahukan pada masa ini kerana dari sudut bekalan ia tidak menjadi masalah," katanya.
Dalam pada itu, katanya, KPDN Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan di 53,109 premis seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.
"Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 733 tindakan telah diambil ke atas premis-premis tersebut. Jumlah sitaan adalah RM2.46 juta dan jumlah kompaun sebanyak RM215,900.
"Berkenaan aduan pula, kita menerima 1,618 aduan (dalam tempoh sama) iaitu 458 berhubung harga barangan dan perkhidmatan, 57 berhubung bekalan barang kawalan manakala selebihnya 1,103 berhubung lain-lain aduan," katanya.