ROMBAKAN besar yang dilakukan oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan membina balik kekuatan pasukan dari bawah adalah proses untuk meletakkan Sang Kenari kembali menjadi pencabar utama bola sepak tanah air.
Keberanian pemilik saham majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang melakukan perubahan besar mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang berharap semua penyokong KDA FC terus setia di belakang kelab tersebut.
Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Firdaus Ahmad, langkah sama telah dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membina Johor Darul Ta'zim (JDT) bermula daripada bawah dan kini muncul kuasa bola sepak besar tanah air.
"Dulu sebelum wujudnya JDT, macam mana pasukan Johor ketika itu. Johor kita tidak sebut. (jadi sebutan) Selangor, Perak, Kedah antaranya yang utama.
"Bila satu perubahan dilakukan dan pasukan dimantapkan dengan beberapa suntikan baharu ia telah menjadi pasukan kuat. Jadi untuk kita ke arah itu kita kena bermula dengan apa TMJ lakukan dengan ambil pemain, bina semula (dari bawah) dan menjadi satu pasukan hebat," katanya semasa ditemui pemberita baru-baru ini.
Firdaus yang juga Exco Belia dan Sukan negeri Kedah berkata, JDT sudah menjadi contoh dan penanda aras kepada semua kelab yang beraksi di Liga Malaysia.
Jelasnya, prestasi kelab selatan itu yang kini berada pada tahap tinggi menjadi satu cabaran kepada pasukan lain untuk terus memberikan saingan.
"Kita akui kekuatan, sistem bola sepak yang dibawa oleh TMJ antara yang baik dan saya tidak menafikan perkara itu. Sebab benda itu adalah baik jadi sebenarnya semua pasukan perlu mencontohi perubahan dilakukan oleh TMJ kepada pasukannya," ujar beliau.
Katanya, pemikiran sama turut dibawa oleh Mohd Daud apabila terlebih dahulu membawa masuk bekas jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain yang merupakan jurulatih terbaik Liga Malaysia bagi musim 2022.
"Secara peribadi saya tengok Tan Sri berfikiran seperti orang muda yang mana apabila beliau kata kita tidak boleh mencari pemain yang semata-mata nak nama, tidak boleh simpan pemain yang dia rasa dia tonggak dan bila kata kita perlu rombak semua, beliau buat," jelas Firdaus.
Bercerita tentang perang mulut antara TMJ dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di media sosial pula, beliau memberitahu, pada satu sisi lain MB selalu kata TMJ ini bagus sebab telah membawa perubahan dalam arena bola sepak.
KDA FC sebelum ini telah menggugurkan seramai 17 pemain termasuk lima tonggak import kelab itu bagi saingan musim hadapan.
Bagi pemain baharu Sang Kenari bagi musim 2023 pula beberapa nama sudah diumumkan termasuk dua import iaitu Amirbek Jurabaev dari Tajikistan dan Manuel Ott (Filipina).
Antara pemain tempatan yang dibawa masuk setakat ini adalah dua penjaga gol iaitu Kalamullah Al Hafiz (PJ City FC) dan Fikri Che Soh (Kelantan United) selain pertahanan Wan Amirul Afiq (Melaka United) serta penyerang Faizal Talib (Melaka United).