KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan mengenal pasti 56 pasukan dengan pelbagai bidang kepakaran perubatan bagi tujuan bantuan bencana banjir ke negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana itu.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, pasukan terlibat terdiri daripada pasukan perubatan, pasukan kesihatan dan pasukan bantuan awal psikologi (PFA).
"Sebanyak 12 pasukan telah dimobilisasikan terlebih dahulu ke negeri Kelantan dan kesemua pasukan yang dimobilisasi telah dihantar bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut beliau, antara petugas yang dimobilasikan adalah pegawai perubatan, jururawat dan pembantu perawatan kesihatan.
Dr Norhayati berkata, tugas utama pasukan perubatan adalah untuk memeriksa, merawat dan merekod bilangan pesakit di PPS dan menghantar reten ke bilik gerakan untuk tujuan pemantauan.
"Pasukan ini juga akan mengesan kes kecemasan yang berada di PPS untuk dilakukan rujukan segera ke hospital untuk tujuan rawatan lebih efektif.
"Mereka ini juga perlu melaporkan kepada bilik gerakan banjir tentang kejadian kes penyakit berjangkit yang berlaku di PPS untuk tindakan langkah-langkah kawalan bagi mengekang jangkitan demi mengelak kejadian wabak,” katanya.
Bagi pasukan kesihatan pula, Dr Norhayati berkata, mereka ditugaskan memeriksa dan memantau kebersihan tempat, peralatan penyediaan makanan, kebersihan pengendalian makanan dan kualiti air minum di PPS.
"Kehadiran dan tempat pembiakan lipas, lalat dan tikus juga diperiksa termasuk melakukan kerja-kerja pelupusan tempat pembiakan serta penyiasatan kes penyakit berjangkit juga dilakukan sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan PFA pula akan menjalankan sesi PFA seperti teknik relaksasi, terapi seni dan psikologi pendidikan untuk mangsa-mangsa yang mungkin terkesan dari segi mental dan emosi menghadapi keadaan banjir. - Bernama