Tipu syarikat pelancongan, pekerja ladang dijel setahun

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pekerja ladang menipu tiga syarikat pelancongan untuk menyerahkan tiket penerbangan berjumlah RM26,588 membawa padah apabila dia dihukum penjara setahun dan tiga sebatan oleh tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Jumaat.

T Haans Raaj, 22, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Ariffin.

Iklan
Iklan

Kesemua mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu Isnin lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Syarikat Across Travel & Tours Sdn Bhd, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd dan Sedunia Travel Sdn Bhd, dengan memperdayakan kesemua mangsa untuk menyerahkan tiket penerbangan masing-masing RM4,960, RM15,397 dan RM6,231 kepadanya, menggunakan transaksi tidak wujud.

Iklan

Sedangkan mereka tidak akan bertindak sedemikian, jika ia tidak diperdayakan.

Kesalahan dilakukan di tiga lokasi berasingan di ibu negara, antara 8 Jun sehingga 16 Disember lalu.

Iklan

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Nadia Eleena Jamaluddin Akbar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.